Anda di sini

Pendidikan agenda lahir modal insan berkualiti

Advertisement

Ia jadi tumpuan kepada kerajaan dalam lahir rakyat berilmu jayakan Wawasan 2020

SIBU: Kerajaan meletakkan soal pendidikan di negara ini sebagai agenda utama dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti bagi menggerakkan negara ini pada masa akan datang.

Menteri Muda Pelancongan (Acara & Produk) Datuk Gramong Juna berkata bidang pendidikan menjadi tumpuan kepada kerajaan dalam melahirkan rakyat berilmu untuk menjayakan Wawasan 2020.

“Tidak kira di mana kita berada baik di luar bandar, pedalaman atau jauh di kawasan hulu sungai tiada alasan bagi kita tidak mendapat pendidikan yang sempurna.

“Kerajaan memperluas setiap aspek pendidikan dengan membangunkan sekolah bagi membolehkan setiap rakyat khususnya generasi muda tidak tercicir daripada mendapat pendidikan,” katanya pada Majlis Makan Malam Kutipan Dana Pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yee Ting, Kanowit.

Program sempena Tahun Baharu Cina itu dihadiri isterinya Datin Catherine Gramong, Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang serta isteri Datin Ping Bungan, Setiausaha Politik Ketua Menteri Maurice Giri dan Pengerusi Pengelola Kutipan Dana Pembangunan SJKC Yee Ting Kong Shian Yung.

Gramong yang juga Menteri Muda Kemajuan Tanah menggesa rakyat setempat agar berasa bersyukur kerana kerajaan membangunkan sektor pendidikan di negara ini dalam melahirkan ramai  golongan bijak pandai dan berkemahiran menjelang 2020.

Justeru, kerajaan mengharapkan sokongan semua pihak memainkan peranan menjayakan dasar kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

“Ibu bapa wajar memberi kerjasama dan tumpuan untuk memajukan bidang pendidikan anak-anak mereka dengan memberi sokongan padu dalam setiap aktiviti anjuran sekolah bagi mempertingkatkan mutu pembelajaran.

“Oleh itu, semua warga sekolah perlu memberi kerjasama erat bagi bersama-sama memajukan anak-anak justeru berjaya dalam pendidikan dan kurikulum demi masa depan,” katanya.

Gramong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan dan Aaron masing-masing menyumbang sejumlah RM50,000 seorang bagi menjayakan kutipan dana sekolah tersebut.

Advertisement