Anda di sini

Pemimpin BN Negeri mengakui berat hati untuk lepaskan Taib

Advertisement

AKUR: Nancy (kiri) dan Rohani akur dengan keputusan Taib untuk mengundurkan diri meskipun berat hati untuk melepaskan beliau. — Gambar Muhd Rais Sanusi

KUCHING: Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) Negeri mengakui berat hati untuk melepaskan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud daripada jawatan Ketua Menteri yang disandangnya selama lebih daripada 30 tahun.

Meskipun berat hati untuk melepaskan pemimpin  yang amat disayangi itu namun menurut Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Rohani Abdul Karim, mereka perlu akur dengan keputusan yang dibuat oleh Taib.

“Soal peralihan kuasa Ketua Menteri ini telah lama dibincangkan dan apabila beliau mengumumkan untuk mengundurkan diri kami menerimanya dengan tenang meskipun berat hati untuk melepaskan beliau.

“Kita semua tahu bahawa tidak ada mana-mana individu yang akan mengendalikan sesuatu untuk tempoh selamanya dan begitu juga situasi yang sedang dilalui oleh Pehin Sri Taib ketika ini apabila beliau merasakan sudah tiba masanya untuk beliau mengundur dan mencari pengganti yang baharu,” katanya.

Rohani berkata demikian ketika ditemui sebelum bermulanya Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Ibu Pejabat PBB di sini semalam yang dipengerusikan oleh Taib yang juga pengerusi BN Negeri serta presiden PBB.

Menyentuh mengenai mesyuarat itu semalam, Setiausaha Pergerakan Wanita PBB Nancy Shukri  berkata terdapat beberapa pemimpin parti komponen BN yang mendesak agar Taib terus kekal menerajui kepimpinan Sarawak.

Namun menurut Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, Taib tetap dengan pendirian seperti yang pernah dijanjikan sebelum ini di mana beliau akan mengakhiri perkhidmatannya pada pertengahan penggalnya namun kini ia dilihat lebih awal daripada itu.

“Memang ada kalangan pemimpin parti komponen BN yang mendesak agar beliau terus kekal malah pada mesyuarat Majlis Tertinggi PBB kelmarin beliau turut menerima desakan yang sama daripada pemimpin-pemimpin PBB.

“Kami akur dan menghormati keputusan itu sebagai satu keputusan yang bijaksana malah beliau sangat profesional dalam hal ini bagi memastikan proses peralihan kuasa  berjalan dengan lancar tanpa sebarang kontroversi,” ujarnya.

Tambah Nancy, meskipun Taib telah menerajui Sarawak untuk satu tempoh yang agak lama namun beliau telah banyak memberi pengalaman kepada pemimpin bawahan beliau terutama bagaimana menangani parti-parti politik yang ada di bawahnya termasuk ahli-ahli yang berhormat di bawahnya.

“Cara beliau menangani parti-parti di bawahnya harus dipelajari oleh sesiapa sahaja kerana sepanjang pimpinan beliau tidak ada berlakunya kontroversi termasuk yang melibatkan hal-hal perkauman,” ujarnya.

Advertisement