Anda di sini

Parti komponen BN diharap kekal bersatu di bawah pimpinan baharu

Advertisement

BERGURAU: Richard Riot (dari kiri), Datuk Joseph Entulu Belaun, Dato Sri Wong Soon Koh dan Tan Sri Datuk Amar James Masing bergurau antara satu sama lain sebelum Mesyuarat Majlis Tertinggi BN semalam. — Gambar Muhd Rais Sanusi

KUCHING: Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom berharap parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) di negeri ini akan kekal bersatu di bawah pucuk pimpinan baharu kelak.

Ini kerana menurut Mawan, apa sahaja yang berlaku kepada parti-parti kecil dalam kumpulan BN di negeri ini ia akan menjejaskan prestasi BN secara keseluruhannya.

“Bagi kami di SPDP sudah tentunya mengharapkan yang terbaik kepada sesiapa sahaja yang bakal menerajui pucuk pimpinan BN dan negeri amnya.

“Peralihan kuasa ini hanyalah kesinambungan kepada polisi sedia ada tetapi ada kalanya cara sesuatu perkara dikendalikan serta penyelesaian kepada masalah kita ditangani dengan licik.

“Tetapi saya percaya, bahawa kami akan mampu mencapai kesatuan dalam apa sahaja yang kami lakukan dalam parti dan ia adalah untuk pengukuhan bukan sahaja kepada parti sendiri tetapi juga kepada BN,” ujar Mawan.

Mawan berkata demikian ketika ditemui sebelum berlangsungnya Mesyuarat Majlis Tertinggi BN di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako di sini semalam.

Mengulas mengenai pengumuman persaraan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Mawan berkata mereka menghormati keputusan tersebut dan akan memberi sokongan kepada sesiapa sahaja yang bakal menggantikan beliau.

“Kami mempunyai sistem dan kami tahu bahawa individu tersebut akan memberikan yang terbaik jika semua orang memberi sokongan kepada beliau.

“Tiada sesiapa yang dipilih mampu melakukan yang terbaik tanpa sokongan oleh semua pihak dan atas sebab itu kami amat menuntut sokongan bagi memastikan adanya kesatuan dan kesinambungan,” ujar Mawan.

Mawan bagaimanapun tidak pasti sama ada Taib telah menghantar surat peletakan jawatan tetapi yang pasti beliau telah diberi mandat penuh untuk memilih mengenai banyak perkara termasuk tarikh yang tepat bagi persaraan beliau.

Sementara itu Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Richard Riot Jaem tidak pasti sama ada beliau layak untuk mengulas mengenai persaraan Taib tetapi jika benar keputusan tersebut ia harus dihormati.

“Beliau telah memerintah Sarawak selama lebih daripada 30 tahun dan telah menyumbang terlalu banyak kepada rakyat dan negeri ini sehingga tidak mampu dihitung oleh kita sendiri,” kata Riot ringkas.

Advertisement