Anda di sini

Miri perlukan padang hoki melatih pemain berbakat

Advertisement

PELAPIS NEGARA: Barisan pemain hoki di Miri yang mengharapkan untuk mendapatkan sebuah padang hoki lebih baik bagi menjalani latihan.

MIRI: Pasukan Hoki Miri melahirkan harapan agar kementerian sukan negeri menyediakan kemudahan padang hoki yang lebih baik bagi melatih para belia yang cenderung dalam sukan terbabit.

Jurulatih pasukan hoki Miri, Rudi Naziri berkata Miri mempunyai pelapis sukan hoki yang berpotensi untuk ditengahkan namun ketiadaan kemudahan padang hoki yang lebih sempurna memudarkan impian pelapis tersebut.

“Kita mempunyai ramai bakat belia yang boleh diasah dan berpotensi mengharumkan nama negara dalam sukan hoki.

“Namun, disebabkan ketiadaan kemudahan padang hoki yang memuaskan terutamanya untuk mengadakan latihan secara langsung membantutkan proses latihan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, beliau memberi latihan kepada para pemain belia yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar sekolah di sebuah padang simen yang agak berisiko kepada para atlet tersebut.

“Oleh sebab itu, kita mohon jasa kementerian sukan melalui Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin membantu Miri mendapatkan sebuah padang hoki yang lebih baik dan selesa bagi menjalankan latihan hoki.

“Miri jika dibandingkan dengan Kuching agak ketinggalan kerana Kuching kini mempunyai tiga buah padang untuk latihan para atlet hoki,” ujarnya.

Jelas beliau, dengan adanya padang hoki itu nanti mampu membantu meningkatkan semangat pemain-pemain hoki di sini.

“Saya amat berharap agar pihak berkaitan memberi perhatian terhadap permintaan kami membantu menjadikan sukan hoki yang juga salah satu sukan ternama di Sarawak,” katanya.

Advertisement