Anda di sini

MBAS nasihat jelas segera kompaun elak tindakan mahkamah

Advertisement

BUKTI: Elina menunjukkan kertas siasatan dan waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah pada sidang media di pejabatnya di Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menasihatkan agar mana-mana pihak yang dikompaun kerana tidak mempunyai lesen tred, penjaja dan iklan supaya menjelaskan segera kompaun bagi mengelakkan tindakan mahkamah ke atas mereka.

Pegawai Undang-Undang MBAS, Elina Mohd berkata, sejak Januari lalu hingga semalam sebanyak 19 kes kompaun dibawa ke mahkamah dan daripada jumlah itu 11 kes diselesaikan di luar mahkamah.

“Enam waran tangkap telah dikeluarkan, manakala dua lagi kes, saman mereka masih belum dapat diserahkan kerana berada di luar kawasan pentadbiran MBAS,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Katanya, sebelum ini pihaknya telah menghantar notis kompaun kepada individu terlibat agar menjelaskannya dalam tempoh 14 hari dan disusuli dengan notis tawaran kompaun sebelum kertas siasatan dibuka.

Beliau berkata, sekiranya masih berdegil mereka boleh didakwa di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau keduanya-duanya.

“Pada tahun ini, MBAS bertindak lebih agresif kerana mahu mendidik masyarakat agar lebih peka dalam pembayaran kompaun termasuklah kompaun tempat letak kereta,” katanya. — Bernama

Advertisement