Anda di sini

Komuniti media perlu anjur Hari Media Kebangsaan

Advertisement

BENGKULU: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata inisiatif penganjuran sambutan Hari Media Kebangsaan di Malaysia perlu diusahakan oleh komuniti media.

Beliau berkata, inisiatif itu adalah selaras dengan semangat kebebasan media, yang perlu dihargai oleh semua pihak.

“Kalau press (media) Malaysia ingin membuatnya kami sokong. Kalau di Indonesia, bukannya pemerintah yang buat, komuniti press yang buat…pemerintah memberi sokongan,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Hari Pers (Media) Nasional (HPN) Indonesia di Fort Marlborough, Kota Bengkulu di sini pada Ahad.

Ahmad Shabery menjawab pertanyaan wartawan Malaysia sama ada Malaysia berhasrat menganjurkan sambutan Hari Media Kebangsaan seperti di Indonesia.

Perhimpunan HPN itu dihadiri Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono buat kali ke-10 sebagai presiden republik itu dan yang terakhir baginya sebelum mengakhiri tempoh perkhidmatan pada Oktober ini.

Ahmad Shabery berkata kerajaan tidak mahu disalah anggap sebagai mengawal, menguasai atau memiliki media jika ia yang menetapkan Hari Media Kebangsan di Malaysia.

“Selama ini, kalau wartawan ada malamnya di bawah Institut Akhbar Malaysia (MPI), kita sentiasa beri sokongan,” katanya.

Pada perhimpunan HPN itu, komuniti Media Indonesia memberi gelaran “Sahabat Media” kepada Yudhoyono bagi menghargai jasa dan sumbangannya kepada media serta sebagai hadiah perpisahan kepada beliau selaku Presiden Indonesia keenam.

Dalam ucapannya, Yudhoyono berkata beliau dan keluarga tidak pernah terlepas daripada kritikan dan kecaman oleh media selama 10 tahun beliau menjadi Presiden Indonesia.

“Media sering sinikal dan kurang bersahabat kepada saya. Tiada hari tanpa kritik dan kecaman. Tiada hari tanpa laporan negatif dan desas-desus kepada saya dan keluarga,” katanya.

Bagaimanapun, di sebalik kritikan dan kecaman itu, Yudhoyono berkata beliau menjadi bertambah kuat untuk memimpin lebih 240 juta rakyat Indonesia.— Bernama

Advertisement