Anda di sini

KM bersara hujung Feb

Advertisement

BERSATU: (Dari kiri) Mawan, Dato Sri Wong Soon Koh, Abang Johari, Alfred Jabu, Taib, Masing dan Awang Tengah menunjukkan semangat bersatu dalam BN. — Gambar Muhd Rais Sanusi

BN Sarawak hormati keputusan, PRK Balingian mungkin menyusul

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud membayangkan bakal bersara pada hujung bulan ini memandangkan beliau memerlukan sedikit masa lagi untuk menyempurnakan hasratnya.

Taib yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri berkata beliau memerlukan tempoh agar proses itu berjalan sempurna dan teratur.

“Saya perlu uruskan setiap perkara mengikut susunannya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemimpin-pemimpin BN Negeri di sini semalam.

Ditanya adakah beliau bersara pada hujung bulan ini, Ketua Menteri Sarawak keempat itu berkata: “Ya. Saya rasa begitu supaya saya dapat gaji penuh untuk Februari.”

Mesyuarat itu antara lain dihadiri Timbalan Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin, Presiden PRS Tan Sri Datuk Amar James Masing dan Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom.

Antara yang perlu dilakukannya ialah memaklumkan kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin mengenai hasratnya untuk bersara.

Sebelum ini, Taib yang telah berkhidmat selama 33 tahun sebagai Ketua Menteri selepas mengambil alih jawatan itu daripada bapa saudaranya Tun Abdul Rahman Yakub pada 1981, berkata beliau akan mengumumkan semua perkara bersangkut-paut dengan persaraannya dalam tempoh dua hari, iaitu hari ini.

Tiga nama yang dikaitkan untuk menggantikannya sebagai Ketua Menteri ialah Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Ketua Penerangan PBB Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB yang dipengerusikan Pengerusi Tetap PBB Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar pada Sabtu lalu sebulat suara memberi mandat penuh kepada Taib untuk memilih penggantinya.

Susulan itu, Taib yang pernah menganggotai kabinet Persekutuan sejak 1968, kelmarin meminta diberi sedikit masa untuk mengumumkannya secara rasmi.

Mengenai permintaan beberapa pihak agar beliau terus kekal sebagai Ketua Menteri, Taib berkata: “Saya tidak mendengar mereka. Saya tutup telinga,” ujarnya.

Taib juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian sejak Pilihan Raya Negeri 2011.

Susulan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB kelmarin yang mencadangkan agar Taib dijadikan Yang di-Pertua Negeri seterusnya, ia menimbulkan persoalan adakah Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi DUN Balingian akan diadakan.

Tempoh lantikan Tun Salahuddin akan berakhir pada 28 Februari ini, ini disusuli dengan jangkaan Taib bakal mengambil alih jawatan berkenaan.

Pada sidang media berasingan di Ibu Pejabat PBB semalam, Setiausaha Agung PBB Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata PRK itu akan diadakan jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan ia perlu diadakan.

Susulan pengumuman persaraan Taib, Rundi berkata semua empat parti komponen BN Negeri semalam sepakat menghormati keputusannya untuk bersara.

Malahan, pemimpin SUPP, PRS dan SPDP menyokong sesiapa sahaja yang dipilih menggantikannya.

“Semua pemimpin bersetuju untuk berusaha keras sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri yang dijangka diadakan pada 2016 dan Yang Amat Berhormat Pehin Sri (Taib) memberi jaminan beliau sentiasa sedia untuk memberi nasihat kepada kami,” katanya.

Ditanya sama ada Taib ada memberitahu mesyuarat tentang tarikh khusus persaraan dan bakal penggantinya, Rundi menjawab: “Hanya Tuhan dan beliau (Taib) saja yang tahu.”

Advertisement