Anda di sini

Kereta api barang tergelincir dan terbalik di Bkt Mertajam

Advertisement

KERJA MENYELAMAT: Sebuah kereta api muatan barang lima gerabak tergelincir daripada landasan berhampiran Taman Tan Sai Gim di Bukit Mertajam dalam satu kejadian 3.30 pagi semalam. — Gambar Bernama

Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan

BUKIT MERTAJAM: Sebuah kereta api barang tergelincir lalu terbalik dari landasan berhampiran Taman Tan Sai Ging, di sini dalam kejadian jam 3.30 pagi semalam.

Kereta api lima gerabak itu bertolak dari selatan Thailand pada jam 11 malam kelmarin dan dalam perjalanan ke Selatan Semenanjung. Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

Berikutan kejadian itu, semua perjalanan kereta api kargo serta penumpang dari Utara ke Selatan dan sebaliknya, terganggu sementara menunggu kerja-kerja mengalihkan gerabak itu selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri Lim Hock Seng berkata beliau ada menerima laporan berkaitan kejadian itu dan sedang menunggu maklumat lanjut daripada pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Katanya KTMB dan kontraktor landasan kereta api itu iaitu MMC Gamuda sedang menyiasat punca kejadian kerana insiden berkenaan berlaku di atas landasan baharu untuk projek Landasan Berkembar Elektrik.

“Sebuah kren seberat 100 tan telah digunakan untuk mengalih gerabak yang terbalik dan kerja-kerja dijangka selesai lewat petang ini,” kata Lim ketika dihubungi.

Beliau berkata kerajaan negeri juga mengambil perhatian serius kejadian yang berlaku dan akan mendapatkan laporan lengkap daripada pihak KTMB.

Seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Cheah, 50-an, berkata ketika kejadian, dia dan keluarga sedang tidur apabila tiba-tiba terdengar bunyi geseran yang kuat sebelum disusuli bunyi dentuman.

“Bunyi dentuman itu sangat kuat dan kami sekeluarga terus bangun daripada tidur kerana bimbang berlaku gempa bumi atau sebagainya, saya keluar dari rumah untuk melihat apa yang terjadi.

“Dari rumah saya nampak kereta api yang membawa gerabak kontena sudah terbalik dan barangan yang dibawa juga bertaburan di atas lantai, nasib baik kereta api itu tidak mengenai rumah penduduk di sini,” katanya dan menambah jarak antara rumahnya dan landasan tidak sampai 10 meter.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada wakil KTMB yang berada di tempat kejadian gagal selepas mereka enggan mengulas sebaliknya memaklumkan kenyataan akan dikeluarkan oleh ibu pejabat. — Bernama

Advertisement