Anda di sini

Jamin akan bekerjasama meskipun tidak jadi KM

Advertisement

KUCHING: Pemimpin-pemimpin kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak berhadapan masalah untuk bekerjasama dan saling menyokong dalam meneruskan perjuangan parti meskipun nama seorang daripada mereka tidak dipilih menggantikan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata mandat telah diberi sepenuhnya kepada Taib menerusi mesyuarat Majlis Tertinggi parti kelmarin.

Beliau yang diminta mengulas apabila namanya tersenarai antara tiga nama bersama Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, masih terlalu awal untuknya berbuat demikian.

“Tunggu pengumuman rasmi (oleh Ketua Menteri mengenai siapa pengganti pilihannya),” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas bersama pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) di Ibu Pejabat PBB semalam.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan berkata lagi Ketua Menteri menerusi mesyuarat itu menasihati agar parti komponen BN Negeri yang terdiri daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mengekalkan perpaduan sedia ada selepas beliau bersara.

Sementara itu, Awang Tengah berkata apa yang penting ialah perancangan pembangunan untuk Sarawak mencapai status negeri maju diteruskan.

Sambil menyifatkan mesyuarat kali ini sebagai amat istimewa berikutan ia diadakan kali terakhir sebelum Taib bersara, beliau berkata keputusan persaraan itu wajar dihormati semua pihak.

“Apa sahaja keputusan Pehin Sri kita akan sokong,” katanya yang turut berasa dihargai apabila turut disenaraikan sebagai calon pengganti Ketua Menteri.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol berkata pengganti Taib wajar dihormati dan diberi kerjasama penuh.

Menyifatkan Taib sebagai pemimpin yang sentiasa memberi tunjuk ajar kepadanya dan rakan-rakan lain dalam BN, sokongan demikian katanya akan menjamin kesinambungan agenda politik pembangunan yang diilhamkan Taib demi rakyat.

“Sebagai Ketua Setiausaha Politik beliau yang terakhir, saya bangga dapat berkhidmat dan berguru dengan pemimpin yang sangat berpengalaman, berwawasan dan patriotik.

“Pehin Sri sentiasa memberi kata-kata rangsangan kepada saya untuk jangan cepat lemah semangat, sentiasa peka dan prihatin serta rajin bekerja,” ujarnya.

Malah, Taib katanya turut menasihatinya supaya sentiasa fokus dengan kerja untuk rakyat dan jangan mudah terganggu dengan pelbagai kritikan liar dan tohmahan mereka yang tidak faham kerja kita.

“Saya akan sentiasa mengingati dan menghargai setiap detik pengalaman berkhidmat dengan beliau,” katanya.

Advertisement