Anda di sini

Generasi kini harus manfaat kemudahan

Advertisement

RINGAN BEBAN: Abu Seman menyampaikan bantuan awal persekolahan kepada ibu bapa di Kampung Igan, Sibu.

Nasib generasi kini lebih terbela kerana kerajaan BN sedia pelbagai bantuan

IGAN: Generasi hari ini harus berasa beruntung dan menghargai setiap kemudahan yang disalurkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Jika dibandingkan dengan apa yang dinikmati generasi masa kini dan terdahulu, generasi kini lebih terbela nasibnya kerana kerajaan BN menyediakan pelbagai bantuan untuk dinikmati oleh mereka.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Abu Seman Jahwie berkata adalah amat wajar generasi hari ini memanfaatkan segala kemudahan yang ada itu dengan sebaik-baiknya.

“Dalam kita menilai sesuatu sumbangan itu, kita tidak boleh melihat kepada angka dan nilai bantuan tetapi perkara yang harus dilihat ialah matlamat bantuan tersebut disalurkan.

“Contohnya, bantuan awal persekolahan yang diberikan kepada setiap pelajar sekolah di negara ini, dengan objektif untuk membantu ibu bapa meringankan beban ditanggung bagi mendapatkan peralatan persekolahan.

“Pemimpin kerajaan BN sedar akan kos dan beban hidup ditanggung masyarakat hari ini, atas faktor dan desakan kos hidup semakin meningkat,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan di Kampung Igan di sini semalam.

Menurutnya, pemberian itu bukan sahaja bertujuan meringankan beban ibu bapa tetapi memastikan anak-anak tidak tercicir daripada pendidikan.

“Pelajar hari ini cukup beruntung. Mereka menerima pelbagai bentuk bantuan.

“Apa yang mereka nikmati tidak pernah dirasai oleh generasi terdahulu.

“Bahkan, dengan bantuan yang ada mereka dapat memberi sepenuh perhatian terhadap pelajaran,” katanya.

Abu Seman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jemoreng berkata, pendidikan merupakan pelaburan terpenting yang tidak boleh diabaikan oleh setiap ibu bapa.

Melalui kemudahan yang disediakan kerajaan, ibu bapa tidak boleh menjadikan masalah kewangan sebagai penghalang dalam usaha menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

“Baru-baru ini, Ketua Menteri merasmikan sebuah universiti baharu di Sibu.

“Semua itu adalah untuk manfaat generasi muda sekarang. Justeru, gunakan peluang yang ada.

“Inilah masa terbaik untuk mereka membina masa depan agar mampu bersaing dengan generasi lain serta membawa impak positif daripada semua aspek kepada negara dan bangsa,” katanya.

Advertisement