Anda di sini

BN Sarawak diminta lakukan persiapan awal hadapi PRN

Advertisement

BERI PENJELASAN: Fatimah ditemu bual wakil media selepas menghadiri mesyuarat BN Negeri Sarawak, semalam. — Gambar Muhd Rais Sanusi

KUCHING: Parti komponen Barisan Nasional (BN) Negeri diminta melakukan persiapan lebih awal bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang yang diramal lebih mencabar berbanding PRN sebelum ini.

Timbalan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Fatimah Abdullah berkata, perkara itu ditegaskan sendiri oleh Presiden PBB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ketika mempengerusikan mesyuarat BN Negeri di Ibu Pejabat PBB di sini, semalam.

Menurut Fatimah, ketika mesyuarat yang dihadiri presiden- presiden parti komponen BN Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-ahli Parlimen BN itu, Taib membayangkan PRN akan datang lebih mencabar disebabkan beberapa faktor antaranya usaha bersungguh-sungguh pembangkang mahu menjatuhkan BN di negeri ini.

“Beliau mahu semua ahli dalam parti komponen BN melakukan persiapan lebih awal menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang yang dipercayai lebih mencabar.

“Persiapan awal ini penting bagi memastikan kemenangan besar kekal berpihak kepada BN,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat BN semalam.

Menurut Fatimah lagi, Ketua Menteri berkata pada PRN akan datang kepentingan belia harus diambil kira memandangkan mereka golongan penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan Sarawak.

Selain itu Fatimah yang juga Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga berkata, pada mesyuarat semalam Taib mengumumkan persaraannya sebagai Ketua Menteri pada penghujung Februari ini.

Bagaimanapun ujarnya, Taib memberitahu bahawa beliau memerlukan sedikit masa untuk mengumumkan Ketua Menteri yang baharu kerana ia perlu mendapat kelulusan daripada Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin.

“Mesyuarat hari ini (semalam) juga menyaksikan Ketua Menteri telah meluluskan dua lagi pelantikan setiausaha politik kepada Ketua Menteri dalam kalangan wanita kerana mahu melihat wanita memainkan peranan penting dalam Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Ini adalah satu penghormatan dan pengiktirafan kepada wanita di negeri ini.

“Saya percaya wanita Sarawak mampu menyumbang kepada pembangunan politik, ekonomi dan sosial negeri ini,” tambah Fatimah.

Advertisement