Anda di sini

Banteras ‘bookie’ Piala Dunia

Advertisement

WAN ZAIN

Kerajaan perlu tegas bendung kegiatan judi haram atas talian pada kempen Piala Dunia 2014

MIRI: Kerajaan menerusi agensi-agensi berkaitan perlu tegas membanteras kegiatan judi haram melibatkan pertaruhan besar atas talian (online) sempena Piala Dunia 2014 pada Jun depan.

Aktivis Sosial, Wan Zain Syed Mohdzar berkata, kegiatan perjudian melibatkan sukan bola sepak semakin berleluasa khasnya semasa berlangsungnya kejohanan besar seperti Piala Dunia.

“Kita percaya sudah ada pihak merancang untuk mengatur pertaruhan siber dan kita berharap agensi penguatkuasaan di sini memberi perhatian membendung jenayah siber ini,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Menurutnya, perjudian itu bukan hanya melibatkan golongan bekerja tetapi juga menarik perhatian remaja atau golongan belia untuk menjadi ‘bookie’ pertaruhan Piala Dunia 2014 nanti.

“Kita berharap ibu bapa memantau anak-anak mereka agar mereka tidak terjebak dalam kegiatan perjudian sama ada secara atas tangan (tunai) atau atas talian,” tegasnya.

Wan Zain yang juga Presiden Mimbar Permuafakatan Ibu bapa Malaysia (MAPIM) Cawangan Sarawak berkata ibu bapa juga harus memantau anak-anak daripada terjebak dengan kegiatan perjudian meskipun hanya melibatkan pertaruhan kecil.

“Contohnya, walaupun mereka bertaruh kecil hanya RM0.20 sen atau RM1, nanti lama-kelamaan akan menjadi budaya atau amalan kepada mereka sehingga dewasa kelak,” jelasnya.

Kejohanan Piala Dunia 2014 akan berlangsung pada Jun depan dan bakal menarik minat sindiket perjudian untuk mengatur jadual perjudian atas talian.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menggandakan usaha untuk membanteras kegiatan perjudian haram bagi mengelak menjadi budaya di negara ini.

“Isu perjudian sukar dibendung terutamanya melibatkan sindiket antarabangsa, tetapi ia boleh dikurangkan dari semasa ke semasa dengan kerjasama semua pihak,” ujarya.

Bagi perjudian melibatkan pertaruhan tempatan pula, polis harus giat menjalankan siasatan sekali gus membanteras kegiatan jenayah ini sebelum dan semasa kejohanan berlangsung.

“Kita bimbang kegiatan perjudian haram itu menjadi budaya masyarakat seterusnya menyebabkan keruntuhan moral dan akhlak terutamanya umat Islam,” katanya.

Advertisement