Anda di sini

ABC Club memulakan kempen Piala Awang Tengah dengan penuh bergaya

Advertisement

SELAMAT BERTANDING: Alidin (berdiri sepuluh kiri) bersama jawatankuasa LFA serta pasukan ABC Club dan Gabungan Awat-awat sebelum perlawanan petang kelmarin.

LIMBANG: Pasukan ABC Club memulakan kempen Piala Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dengan penuh bergaya apabila mudah menjinakkan Pasukan Gabungan Awat-awat Lawas 4-0 di Kompleks Sukan Limbang petang kelmarin.

Kejohanan Piala Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan melabuhkan tirainya petang kelmarin dengan menyaksikan sebanyak 12 perlawanan pusingan awal sebelum juara ditentukan pada pentas final hujung Mac nanti.

Sebanyak 12 pasukan terhandal di bahagian ini berentap bagi merebut mahkota kejuaraan untuk merebut piala pusingan Datuk Amar Awang Tengah yang ditawarkan selain ganjaran lumayan wang tunai dan piala iringan.

Pengerusi Liga Limbang yang juga Timbalan Persatuan Bola Sepak Limbang (LFA), Alidin @ Brahim Tawar berkata selain menawarkan piala pusingan yang julung kali diadakan dalam sejarah Liga Limbang sejak diadakan lima tahun lalu pemenang juga merebut wang tunai RM5,000 (juara), RM 3,000 (kedua) dan RM1,000 ketiga bersama.

“Perlawanan merebut piala pusingan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ini pastinya sengit kerana kebanyakan pasukan yang beraksi adalah pasukan tersenarai dalam Liga Super lalu,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, kejohanan sepatutnya diadakan hujung Disember lalu terpaksa ditangguhkan sehingga petang kelmarin berikutan keadaan padang Kompleks Sukan Limbang yang kurang memuaskan.

“Kita optimis kejohanan ini bakal lebih sengit kerana pasukan yang beraksi merupakan pasukan ternama.

“Kita harap berjalan lancar dan setiap pemain menunjukkan persembahan menarik kerana pasukan terbaik akan terpilih mewakili Limbang ke Piala Sarawak musim ini,” katanya.

Sementara itu ABC Club, Awat-Awat Bersatu, PML tersenarai dalam Kumpulan A, SESCO, Delima, Ransing (Kumpulan B), Tiger FC, LBA, Budak Pasir (Kumpulan C) dan Highlanders, ACJ, Felda United berada dalam Kumpulan D.

Advertisement