Anda di sini

20,000 meriahkan Rumah Terbuka TBC di Bintulu

Advertisement

HADIR: Tun Salahuddin (tengah) dan Toh Puan Norkiah sejurus tiba pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2014 anjuran Ahli Parlimen Bintulu, semalam.

BINTULU: Lebih 20,000 orang menghadiri Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2014 anjuran Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing di Dewan Suarah Bintulu semalam.

Majlis itu merupakan landasan terbaik bagi Tiong merapatkan silaturahim dengan penduduk setempat selain membolehkannya beramah mesra dengan masyarakat di sini.

Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah turut bersama-sama memeriahkan sambutan itu.

Kedatangan beliau serta rombongan disambut Residen Bahagian Bintulu Muhammad Yakub Kari, Ahli Dewan Negara Senator Pau Chiong Ung, Tiong dan juga tetamu lain sebelum dibawa masuk ke dewan bagi bersama-sama memeriahkan sambutan.

Sejurus itu, Tun Salahuddin dan isteri menjamu hidangan yang disediakan sebagai keraian buat beliau dan isteri serta tetamu lain yang hadir pada majlis berkenaan.

Bagi memeriahkan suasana, tetamu turut dihiburkan dengan pelbagai tarian dan lagu tradisi serta tarian singa yang  dipersembahkan setiap kali perayaan Tahun Baharu Cina.

Sementara itu, Tun Salahuddin dan isteri turut mengadakan kunjungan ke beberapa rumah kenamaan berbangsa Cina di sini.

Advertisement