
GOL KEDUA: Gabor (tiga kiri) menjaringkan gol kedua Sarawak pada perlawanan Liga Super menentang pasukan Selangor PKNS FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang kelmarin. Sarawak menang 2-0.
KUCHING: Sarawak memadam ego Selangor PKNS di laman sendiri dengan kemenangan 2-0 pada perlawanan Liga Super 2014 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang kelmarin.
Penyerang import dari Serbia Milorad Janjus yang baharu pulih daripada kecederaan mengejutkan tuan rumah dengan jaringan awal pada minit ke-9 berpunca daripada lontaran jauh Ronny Harun.
Berselang enam minit kemudian, giliran pertahanan tinggi lampai dari Hungary Gabor Gyepes menambah derita PKNS dengan gol kedua juga hasil lontaran jauh pemain kelahiran Sabah itu.
PKNS yang mempunyai rekod baik di gelanggang sendiri sebelum ini hilang punca setelah dikejutkan dengan dua jaringan awal Ngap Sayot.
Gandingan dua penyerang import Patrick Ronaldinho dan Karlo Primorac juga gagal merobek benteng Sarawak yang dikawal ketat Ronny dan Gabor.
Tuan rumah bagaimanapun lebih banyak menguasai permainan pada separuh masa kedua menerusi beberapa percubaan berbahaya dilancarkan oleh barisan penyerang dalam usaha mengurangkan defisit gol.
Namun, Sarawak yang selesa dengan dua gol di babak pertama berjaya mengekang segala percubaan PKNS hingga tamat masa perlawanan.
“Tahniah kepada pemain kerana berjaya memastikan tiga mata penuh milik Sarawak,” kata Ketua Juru latih Robert Alberts ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.
“Saya akui bukan mudah untuk menang di sini kerana PKNS mempunyai rekod cemerlang di gelanggang sendiri. Tambahan lagi, mereka dibarisi ramai pemain yang cukup berkualiti.
“Namun pemain kita berjaya mengekalkan momentum sekali gus merealisasikan apa yang kita capai pada malam ini (kelmarin), kata Alberts”
Katanya beberapa pemain juga menunjukkan peningkatan yang cukup ketara terutama penyerang utama Milorad.
“Permainan Milorad semakin baik dan saya cukup berpuas hati dengan apa yang telah beliau berikan,” katanya.
Menurutnya, Gabor juga berjaya membuktikan statusnya selaku pemain bertaraf bintang apabila sekali lagi berjaya mencetak nama selaku penjaring.
Sarawak akan meneruskan kempen Liga Super di laman sendiri menentang Perak pada 15 Februari ini (Sabtu).
Sebelumnya, mereka akan menentang Felda United dalam saingan suku akhir pertama Piala FA di Stadium MBPJ pada Selasa depan (11 Februari).