Anda di sini

Penggabungan SPDP-SUPP perlu diteliti daripada pelbagai aspek

Advertisement

SIBU: Timbalan Pengerusi Parti Demokratik Sarawak (SPDP) Bahagian Bukit Assek Kaunselor Pasang Ngalambai mahukan penggabungan SPDP dengan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) diteliti daripada pelbagai aspek sebelum direalisasikan.

Katanya usaha penggabungan perlu selari dan ia tidak boleh dilaksanakan di sebelah pihak sahaja.

Ini kerana apa yang tidak patut berada dalam proses penggabungan tersebut jelas beliau, ialah kehadiran pihak yang bersikap sambil lewa dan tidak mempunyai kesungguhan untuk bergabung disebabkan pelbagai faktor.

“Jikalau penggabungan ini dilihat mampu mengukuhkan politik pada masa akan datang kenapa perlu kita menolak sesuatu perkara yang membawa kebaikan.

“Pada masa yang sama saya bersetuju dengan keyataan Ketua Pemuda SPDP Robert dan Setiausaha Agung SPDP Datuk Nelson Balang Rining yang disiarkan di akhbar tempatan semalam,” ujarnya ketika ditemui Utusan Borneo semalam.

Pasang berkata, proses penggabungannya juga harus berlaku secara natural dan tidak terlalu mendesak mana-mana pihak untuk bergabung dalam tempoh terdekat.

SPDP katanya, mempunyai isu lain perlu diselesaikan untuk memastikan serta menjamin perjuangan parti mencapai matlamat seperti mana yang diharapkan.

“Proses penggabungan perlu berlaku secara natural dan asas yang paling penting ialah kita mahu bersatu hati dan berjuang bersama parti komponen  BN yang lain,” katanya.

Menurut Pasang lagi, secara keseluruhan isu penggabungan ini sekadar idea peribadi pihak tertentu dan bukannya daripada parti secara keseluruhan.

Berdasarkan siaran sebuah akhbar tempatan semalam, satu sumber yang boleh dipercayai melaporkan Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin  dan Timbalan Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing telah berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi memujuk beliau agar tidak membatalkan SUPP.

Difahamkan, pada pertemuan itu Chin dan Tiong turut dikatakan mencadangkan penggabungan antara SUPP dan SPDP jika SUPP tidak dibatalkan pendaftarannya.

Sumber tersebut turut memberitahu bahawa Tiong akan mengetuai Sayap Cina sekiranya penggabungan itu direalisasikan.

Advertisement