Anda di sini

‘Pelihara imej tentera’

Advertisement

MENERIMA ANUGERAH: Tuanku Abdul Halim berkenan mengurniakan pedang kepada penerima Anugerah Penuntut Keseluruhan Terbaik iaitu Nor Ikhmar sempena Perbarisan Pentauliahan Diraja 61 Pegawai Kadet Tauliah Jangka Pendek Ke-76 di Kolej Tentera Darat (KTD) di Kem Segenting di Port Dickson, semalam. — Gambar Bernama

PORT DICKSON: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah semalam mengingatkan pegawai kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar memelihara imej tentera bagi memastikan pasukan itu kekal mulia di mata masyarakat.

Titah baginda untuk itu mereka perlu sentiasa mematuhi disiplin ketenteraan selain menjaga tingkah laku agar tidak mencemarkan imej dan reputasi ATM.

Baginda turut menggesa pegawai kadet ATM agar terus mengejar ilmu bagi memastikan mereka sentiasa dalam keadaan bersedia untuk mempertahankan kedaulatan negara, bangsa dan agama.

Walaupun negara dalam keadaan aman sekarang, ancaman boleh datang pada bila-bila masa dari dalam dan luar negara dalam pelbagai bentuk, titah bagindasempena Perbarisan Pentauliahan Diraja 61 pegawai kadet tauliah jangka pendek ke-76 di Kolej Tentera Darat (KTD) di sini.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah turut berangkat ke istiadat itu. Hadir sama Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin,Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Tuanku Abdul Halim turut menasihati pegawai kadet berkenaan agar mencontohi kecemerlangan perwira terdahulu.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berdua mencemar duli berangkat menyempurnakan istiadat perbarisan pentauliahan diraja itu yang diketuai Pegawai Rendah KananNor Ikhmar Madarsa.

Nor Ikhmar kemudian diumum sebagai Penuntut Keseluruhan Terbaik manakala Pegawai Rendah Muda Mohamad Shafiq Ramzan dinobat Penuntut Terbaik Kemahiran Ketenteraan.

Kumpulan pegawai kadet itu ialah yang terakhir diurus selia oleh KTD yang akan distrukturkan semula menjadi Akademi Tentera Darat.

Turut diadakan semalam adalah acara penurunan bendera KTD sebagai simbolik penstrukturan semula kolej. Bendera itu kemudian dipersembah kepada Tuanku Abdul Halim oleh Komandan KTD Kolonel Abdul Aziz Ahmad. — Bernama

Advertisement