Anda di sini

MB Perlis beri jaminan gelanggang SUKMA akan siap mengikut jadual

Advertisement

PADANG BESAR: Menteri Besar Perlis Azlan Man mem­beri jaminan semua gelang­gang pertandingan bagi pen­ganjuran Sukan Malaysia ke-17 (SUKMA) siap mengikut jadual menjelang kejohanan itu yang akan bermula 24 Mei.

Menurutnya pembinaan kolam renang untuk acara akuatik dan stadium utama untuk upacara perasmian terlewat daripada jadual di­jangka siap sepenuh pada akhir Mac ini.

“Persiapan venue-venue lain berjalan lancar mengikut jadual. Tempat-tempat pengi­napan atlet dan pegawai yang hampir 10,000 orang juga telah tersedia dan saya beri jaminan gelanggang-gelang­gang ini dapat digunakan sepenuhnya.

“Ujian juga akan dijalankan terlebih dahulu bagi menen­tukan ia disiapkan mengikut spesifikasi dan piawaian ditetapkan,” kata Azlan ke­pada pemberita selepas mer­asmikan Larian Baton SU­KMA ke-17 di tapak niaga Arked Mara di Padang Besar, semalam.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamalud­din yang meninjau gelang­gang-gelanggang pertand­ingan di sini bulan lepas melahirkan kebimbangannya kerana pembinaan kolam renang dan stadium terlewat daripada jadual.

Azlan berkata kerajaan negeri serta agensi-agensinya sedang mengambil langkah perlu untuk menampung dan memenuhi keperluan para atlet serta pegawai di samp­ing pelancong yang datang ke Kangar untuk menyaksikan SUKMA.

“Saya dimaklumkan semua tempat penginapan seperti hotel, inap desa dan chalet te­lah habis ditempah. Ini adalah petanda baik kepada Perlis yang pertama kali menjadi tuan rumah sukan dwi-tahu­nan ini yang berakhir pada 4 Jun,” katanya.

Beliau berkata, pengunjung juga berpeluang menikmati mempelam Harum Manis, produk terkenal di negeri ini, yang banyak mengeluarkan hasil antara Mei hingga Jun.

Mengenai Larian Baton, Azlan berkata acara itu men­jadi agenda penting untuk menyemarakkan semangat atlet, pegawai dan rakyat Perlis agar dapat memainkan peranan menjadikan SUKMA kali ini antara yang terbaik. — Bernama

Advertisement