Anda di sini

Kesegaran barangan mentah faktor dorong pembeli kunjungi pasar tani

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kesegaran barangan mentah seperti sayur-sayuran dan makanan laut menjadi faktor terpenting yang mendorong orang ramai khususnya di Lembah Klang mengunjungi pasar tani.

Tinjauan Bernama di Pasar Tani Taman Melawati di sini dan Pasar Tani Salak Tinggi di Sepang mendapati meskipun terdapat pasar raya berdekatan, namun pasar tani tetap menjadi pilihan utama walaupun harganya berubah-ubah mengikut penawaran dan permintaan semasa.

Pengunjung Pasar Tani Taman Melawati yang juga seorang chef Mohamad Rashidi Abdul Manap, 50, berpuas hati dengan tahap kesegaran makanan laut yang dijual di pasar tani itu biarpun ia dijual pada harga yang agak tinggi.

“Mungkin pengunjung yang berpendapatan tinggi tiada masalah untuk membeli barangan seperti ketam, udang laut dan ikan bawal putih tetapi golongan berpendapatan sederhana, rendah dan yang pencen memang merasai kenaikan harga ini,” kata Mohamad Rashidi.

Sebagai alternatif beliau berkata pasar awam dan pasar malam akan menjadi pilihannya selain berharap kerajaan dapat memanjangkan lagi tempoh perniagaan pasar tani.

Bagi penganalisis data Hareeni Kangein, 42, beliau gemar berkunjung ke pasar tani kerana terdapat banyak sayur-sayuran kampung segar yang sukar didapati ditempat lain.

“Harga sayur-sayuran adalah berpatutan dengan kualiti yang ditawarkan tetapi saya percaya jika kerajaan terus menangani peranan ‘orang tengah’, harganya pasti lebih murah sekali gus boleh meningkatkan ekonomi usahawan tani tempatan,” kata Hareeni yang ditemui ketika berkunjung ke Pasar Tani Salak Tinggi.

Sementara itu, suri rumah Rozie Daud, 55, pula berpendapat harga sayuran komersial seperti tomato dan lobak merah adalah lebih mahal berbanding di pasar raya namun tidak menolak ia mungkin berdasarkan faktor bekalan dan permintaan.

“Ada peniaga yang menyatakan harga juga bergantung kepada tempat keluaran sama ada Cameron Highlands, Thailand atau China. Namun ia kelihatan sama sahaja, maka saya terpaksa membelinya di pasar raya besar kerana ingin membeli pada kuantiti yang banyak dengan harga lebih murah,” kata Rozie.

Turut berkongsi pandangan itu seorang penjawat awam, Wan Sulaiman Wan Hamad, 36, yang berpendapat meskipun kos sara hidup kini telah meningkat, namun kesegaran bahan makanan baginya tidak boleh dikompromi.

“Setakat ini saya masih boleh terima harga yang ditawarkan di pasar tani kerana saya mengutamakan kesegaran. Cuma apa yang perlu kerajaan terus lakukan ialah ketegasan dari segi pemantauan terhadap peniaga yang cuba mengambil kesempatan terhadap pengguna,” kata Wan Sulaiman yang kerap mengunjungi Pasar Tani Taman Melawati.

Sementara itu, eksekutif audit yang mahu dikenali sebagai Hana Hussin, 28, pula berkata, pasar tani menawarkan kepelbagaian produk yang berpatutan dan sebagai golongan muda yang sibuk bekerja serta menguruskan keluarga, ia amatmenyenangkan.

“Di pasar tani ini selain membeli barang-barang basah segar, saya juga dapat membeli sarapan, perkakas rumah, pakaian dan sebagainya. Maka konsep pasar tani ini perlu dikekalkan untuk memudahkan rakyat mendapatkan barangan keperluan mereka,” kata Hana yang berkunjung ke Pasar Tani Salak Tinggi.

Dalam pada itu Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) daerah Gombak, Abd Rahim Limin memaklumkan selain mengutamakan kesegaran produk, pihaknya sentiasa berusaha menawarkan penurunan harga antara lima hingga 20 peratus daripada harga yang ditetapkan kerajaan melalui hasil ladang kontrak yang dikendalikan usahawan tani tempatan.

“Namun kami akui faktor hari misalnya Jumaat hingga Ahad, akan mengalami kenaikan harga yang lebih tinggi berbanding hari lain selain melihat kepada pengaruh cuaca, bekalan dan sektor pasaran,” jelas Abd Rahim.

Berbeza dengan pengguna di Pulau Pinang terutama di Kepala Batas, mereka membeli keperluan harian terutama ikan, sotong dan ketam terus daripada nelayan kerana selain kesegarannya, harganya juga berpatutan.

Di Kepala Batas, Pasar Bisik, Kuala Muda dan kawasan pendaratan nelayan di Penaga menjadi tumpuan pengguna setiap hari.

Seorang kerani sekolah, Hamimah Ahmad, 45, berkata beliau dan suaminya lebih suka mengunjungi Pasar Bisik, Kuala Muda untuk membeli ikan, udang dan ketamdalam kuantiti yang banyak untuk bekalan dapur selama seminggu kerana selainkesegarannya, harganya juga berpatutan.

“Dengan cara ini, saya bukan sahaja boleh berjimat sehingga RM50 seminggu tetapi tidak perlu ke pasar setiap hari,” katanya.

Kawasan pendaratan ikan di Penaga juga menjadi tumpuan orang ramai khususnya di hujung minggu bagi mendapatkan bekalan ikan untuk keperluan keluarga sehinggaada yang sanggup datang sejauh Parit Buntar, Perak untuk membeli ikan.

Roslan Sulaiman, seorang kakitangan kerajaan berkata selain kesegarannya, harga ikan di Penaga adalah murah.

“Di sini, saya boleh membeli pelbagai jenis ikan dan makanan laut dengan harga yang murah. Contohnya ikan kembong bersaiz besar RM6 sekilogram berbanding pasar di Parit Buntar RM10.50 sekilo,” katanya. — Bernama

Advertisement