Anda di sini

Pertandingan tenun ‘pua kumbu’ SIDS kini dibuka

Advertisement

SIBU: Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Sibu menganjurkan Pertandingan Menenun ‘Pua Kumbu’ Terbuka Sarawak Edisi Ketiga 2014 yang dibuka dari sekarang hingga Ogos ini.

Pengerusi SIDS Sibu merangkap pengerusi jawatankuasa penganjur Ir Alice Jawan berkata, pertandingan itu bermula bila-bila masa dari sekarang dan peserta diberi tempoh selama enam bulan untuk menyiapkan hasil tenunan ‘pua kumbu’ mereka.

Katanya, objektif pertandingan itu ialah menggalakkan golongan wanita Dayak/Iban serta generasi muda terlibat dalam kraf tangan tenunan ‘pua kumbu’ serta membangunkan dan mempertahan kraf tangan itu sebagai warisan yang harus diwarisi semua.

“Selain itu, dijadikan sebagai produk pasaran kraf tangan bagi golongan wanita Dayak/Iban,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjur pertandingan tersebut di sini, malam kelmarin.

Penaung pertandingan ini ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Peraturan dan syarat-syarat ialah pertandingan ini terbuka kepada semua penenun di Sarawak tanpa mengira usia.

“Pada pertandingan ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu ‘Kain Kebat,’ ‘Pua Kumbu Shawl,’ ‘Alas Meja Kebat’ dan ‘Selampai Sulam.’

“Untuk kategori ‘Kain Kebat’ saiznya berukuran 3’X5’, ‘Pua Kumbu Shawl’ (2’X6’), ‘Alas Meja Kebat’ (24”X10”) dan ‘Selampai Sulam’ (5”X6”).

“Hadiah bagi kategori ‘Kain Kebat’ ialah johan membawa pulang wang tunai RM1,500, naib johan RM1,200, ketiga RM900, keempat hingga kelima RM500 dan masing-masing berserta sijil penyertaan dan piala (kecuali tempat keempat dan kelima),” jelasnya.

Bagi kategori ‘Pua Kumbu Shawl,’ johan menerima hadiah wang tunai RM1,200, naib johan RM900, ketiga RM700, tempat keempat hingga kelima RM500 dan masing-masing berserta sijil penyertaan serta piala iringan (kecuali tempat keempat hingga kelima).

Johan bagi kategori ‘Alas Meja Kebat’ pula menerima hadiah wang tunai bernilai RM800, naib johan RM600, ketiga RM400 manakala tempat keempat hingga kelima menerima RM200 dan masing-masing serta sijil penyertaan serta piala iringan (kecuali tempat keempat hingga kelima).

Kategori ‘Selampai Sulam’ menawarkan hadiah RM500 untuk johan, RM300 (naib johan), RM200 (ketiga) dan RM100 (tempat keempat hingga kelima) serta masing-masing berserta sijil penyertaan serta piala iringan (kecuali tempat keempat hingga kelima).

Tarikh akhir untuk menghantar karya pertandingan tersebut ialah pada atau sebelum 29 Ogos depan.

Pertandingan ini akan diadili atau proses pemberian markah pada awal September dan lokasi serta masanya akan diberitahu kemudian.

Sebanyak 20 hasil tenunan terbaik dipilih untuk dipamerkan pada pameran untuk tontonan orang ramai.

Setiap hasil tenunan perlu diletakkan label atau tanda ‘Tenun SIDS, SIBU 2014’ di tepi kain untuk setiap penyertaan bagi kategori ‘Kain Kebat,’ ‘Pua Kumbu Shawl’ dan ‘Alas Meja Kebat’ manakala ‘Selampai Sulam’ perlu dilabelkan ‘SIDS SIBU 2014’ di penghujung ‘selampai.’

Kriteria penilaian adalah seperti berikut, reka bentuk/ukir (40 peratus), warna (mesti dalam pewarna semula jadi sahaja) (30 peratus), komposisi/ketulenan/asal (15 peratus) dan mutu kerja/kehalusan tenunan (15 peratus).

“Keputusan pertandingan ini diumumkan pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-25 SIDS Sibu dijangka pada September depan. Bagaimanapun, ia masih dalam perbincangan dan kita akan memberitahu tarikh dan lokasinya kemudian,” tambahnya.

Sebarang pertanyaan lanjut atau hasil tenunan hendaklah dihantar kepada Alice Jawan, c/o Lembaga Air Sibu, Jalan Salim (084-211001 sambungan 203/205) atau Angeline Uchi Maseng, c/o Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (SRDC), Wisma Sanyan, 96000 Sibu (016-8825861) sebelum 29 Ogos ini.

Borang penyertaan juga boleh didapati menerusi laman web SIDS www.sids-sibu.blogspot.com atau diperolehi daripada sekretariat yang dilantik.

Justeru, orang ramai yang mempunyai bakat menenun ‘pua kumbu’ dialu-alukan menyertai pertandingan ini.

Advertisement