Anda di sini

Peningkatan belia Cina dalam SABERKAS perkembangan positif

Advertisement

KUCHING: Peningkatan penyertaan belia Cina dalam Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) dilihat sebagai perkembangan positif dalam melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis pada masa hadapan di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg memberitahu, selepas Artikel 9 (2) Fasal 9 (2) Perlembagaan SABERKAS dipinda, kini lebih ramai ahli baharu telah menyertai SABERKAS termasuklah belia berbangsa Cina.

“Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa SABERKAS komited untuk melatih belia 1Malaysia tidak kira bangsa dan agama. Ini penting agar pemimpin muda dapat dilahirkan kerana mereka merupakan pemimpin pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Bungkusan dan Duit Ang Pow Tahun Baharu Cina 2014 di Sarawak Hun Nam Siang Tng di sini, semalam.

Tambahnya, sehingga kini ahli SABERKAS berbangsa Cina telah meningkat dalam jumlah yang ketara iaitu lebih 2,000 orang di seluruh Sarawak dalam tempoh dua tahun lalu.

“Dalam tempoh dua tahun lepas, ahli SABERKAS daripada kaum Cina telah mencatatkan peningkatan yang ketara iaitu lebih 2,000 orang termasuk dari Sibu, Bintangor dan Kuching.

“Peningkatan yang drastik daripada belia Cina ini berlaku selepas kita meminda perlembangaan kita di mana sebanyak 71 cawangan dari kawasan yang majoritinya dihuni kaum Cina telah kita tubuhkan,” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan menambah, peningkatan itu turut disumbangkan melalui kaedah pendaftaran secara dalam talian yang digunakan oleh pertubuhan itu.

Selain itu, katanya, SABERKAS bercadang untuk bekerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi mewujudkan kelab SABERKAS di universiti dalam negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata, kerajaan akan sentiasa meneruskan usahanya membantu golongan yang memerlukan di negeri ini tanpa mengira kaum dan agama.

“Paling penting ialah kestabilan. Apabila kerajaan stabil, ekonomi kita turut meningkat dan keuntungan itulah yang kita gunakan untuk membantu rakyat yang memerlukan.

“Buktinya, pada tahun lalu, kerajaan melalui Kementerian Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) telah menyumbangkan RM50 ribu bagi membiayai bil elektrik di rumah warga emas, Sarawak Hun Nam Siang Tng ini.

“Tahun ini, kerajaan melalui kementerian tersebut sekali lagi menyumbangkan jumlah yang sama ditambah peruntukan geran MRP daripada saya yang berjumlah RM50 ribu menjadikannya RM100 ribu,” ujarnya.

Selain berita gembira itu, pada majlis tersebut, Abang Johari turut menyampaikan bungkusan dan sumbangan duit Tahun Baharu Cina kepada 25 warga emas daripada SABERKAS.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) yang juga Menteri Muda Pembangunan Belia (Luar Bandar) merangkap Naib Presiden SABERKAS negeri Datuk Dr Stephen Rundi Utom, Naib Presiden SABERKAS Datuk Aidan Wing, Setiausaha Agung SABERKAS Dr Abdul Rahman Junaidi, ADUN Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Pengerusi Sarawak Hun Nam Siang Tng Dato Sri Tay Thian Siong.

Advertisement