Anda di sini

Pendaratan percuma tarik minat syarikat China

Advertisement

TRADISI: Abang Johari (tengah) bersama tetamu kehormat menggaul ‘Yee Sang’ pada Majlis Makan Malam Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di BCCK, malam kelmarin. — Gambar Jeffery Mostapha

KUCHING: Malaysia Airports Berhad (MAB) dijangka tidak akan mengenakan caj pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) terhadap empat syarikat penerbangan dari China bagi memberi laluan penerbangan yang lebih baik ke negara itu.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, keempat-empat syarikat penerbangan itu menunjukkan minat untuk mewujudkan laluan penerbangan di antara Kuching dan bandar-bandar di China.

“MAB sedang berunding dengan China. Empat syarikat penerbangan berminat untuk datang ke Sarawak. Saya sudah meminta MAB untuk memberikan mereka yuran pendaratan percuma ke Kuching dan mereka sudah bersetuju.

“Apabila pesawat dari China mendarat di sini, mereka tidak perlu membayar yuran pendaratan selama tiga tahun dan ini adalah sesuatu yang positif dan istimewa di antara kita dan MAB,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Peniaga Pusat Bandar Raya Kuching, Jawatankuasa Peniaga Lebuh India, DBKU dan Plaza Merdeka di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam kelmarin.

“Apabila kita memperolehi penyambungan laluan ini, sama ada syarikat penerbangan kebangsaan Malaysia Airlines atau AirAsia atau syarikat penerbangan dari China akan membawa pelancong mereka ke sini,” tambahnya.

Pada masa sama, Abang Johari berkata, kementeriannya menerima maklum balas baik daripada delegasi yang menghadiri Forum Pelancongan ASEAN baru-baru ini.

“Mereka memberitahu bandar raya kita sangat bersih dan disusun dengan baik yang bermakna fokus perancangan kita adalah bagus. Ia menjadi sesuatu unik jika dibandingkan dengan destinasi lain yang pernah dilawati oleh mereka,” katanya.

Menteri Perumahan itu turut memberitahu kementeriannya sedang berusaha untuk merealisasikan penggunaan hanya satu visa yang membolehkan pelancong melawat negara-negara ASEAN.

“Saya kini sedang berunding dengan kerajaan Brunei untuk mengadakan peraturan sedemikian di Brunei dan Sarawak yang bermakna satu visa membolehkan kita untuk melawat Brunei dan Malaysia.

“Mungkin kemudian ia adalah matlamat ASEAN untuk mengeluarkan satu visa sahaja di mana kita boleh melakukan lawatan ke 10 negara anggota ASEAN,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, Sarawak juga akan menerima 60 pengusaha syarikat penerbangan di Asia, 60 eksekutif yang merancang laluan untuk datang ke Kuching.

Malah, beliau memberitahu kementeriannya sedang mengkaji kemungkinan untuk meningkatkan kekerapan penerbangan dari Pontianak termasuk penerbangan Kuching-Bandung secara terus.

Advertisement