Anda di sini

Pembinaan litar khas tidak dapat tangani ‘mat rempit’

Advertisement

SIBU: Pembinaan litar lumba khas tidak akan dapat menangani masalah ‘mat rempit’ atau lumba haram di setiap bandar utama di negeri ini.

Menteri Muda Kemajuan Belia, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata penganjuran aktiviti rekreasi adalah perlu bagi mengalih perhatian ‘mat rempit’ daripada berlumba haram.

“Pembinaan litar lumba khas terutama di atas jalan raya awam tidak akan dapat menyelesaikan masalah lumba haram ini,” katanya sambil menambah pendidikan keselamatan jalan raya juga penting.

Beliau memberitahu, kegiatan merempit oleh golongan terbabit dilihat sebagai hanya melepaskan geram memandangkan rata-rata masih muda.

“Namun selepas mereka berkahwin dan mempunyai keluarga, minat merempit ini akan hilang secara perlahan-lahan. Apa yang penting, kita perlu mendidik mereka mengenai keselamatan di jalan raya serta mengalihkan perhatian kepada aktiviti sihat.

“Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan menjauhi anak-anak mereka daripada terlibat dalam gejala merempit. Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga harus lebih tegas.

“Pembinaan litar lumba khas bukanlah penyelesaian menyeluruh kepada masalah lumba haram ini,” jelas Abdul Karim.

Ditanya pembinaan litar lumba khas dapat menghindari golongan belia terus terlibat dalam lumba haram, Abdul Karim berkata, kegiatan lumba haram berleluasa bukan sahaja di bandar raya atau bandar-bandar tetapi adanya jalan raya yang sesuai.

“Saya tidak pasti sama ada pembinaan litar lumba ini akan dapat menyelesaikan masalah lumba haram,” katanya sambil menambah terdapat litar lumba kart di Miri.

Advertisement