Anda di sini

Pemandu teksi kesal pelancong tidak guna teksi sempena TMT 2013

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Bahagian Pelancongan Jabatan Setiausaha Kerajaan Terengganu dan Tourism Malaysia diminta memberi perhatian terhadap pemandu teksi di negeri ini berikutan tiada pelancong yang menggunakan perkhidmatan teksi sepanjang Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).

Setiausaha Persatuan Pemandu Teksi Kuala Terengganu/Marang Ahmad Che Nuh mendakwa sepanjang TMT 2013 tidak adapun pelancong menggunakan khidmat teksi untuk ke pelbagai destinasi di negeri itu.

“Kita difahamkan kira-kira empat juta pelancong membanjiri Terengganu sempena TMT 2013, namun tidak adapun yang menggunakan perkhidmatan teksi.

“Pemandu teksi konon dilabel sebagai Duta Pelancongan kerana orang yang pertama menyambut dan membawa pelancong namun hakikatnya itu semua kata-kata untuk menyedapkan halwa telinga semata-mata,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian kerjasama antara persatuannya dan Kolej Komuniti Kuala Terengganu di sini.

Ahmad, yang menjadi pemandu teksi lebih 20 tahun, berkata kebanyakan pelancong datang ke Terengganu melalui pakej tertentu oleh pusat-pusat pelancongan, penggiat pelancongan, perhotelan dan resort yang menyediakan pengangkutan sendiri.

“Tidak ada gunanya TMT andai semua pelancong diangkut oleh mereka yang mempunyai kemampuan manakala kita hanya berputih mata tanpa sebarang habuan untuk dikecap daripada program kerajaan itu,” katanya.

Ahmad berkata sempena TMM 2014, pihak berkuasa pelancongan harus berbuat sesuatu bagi memberi sedikit ruang kepada pemandu teksi mencari rezeki.

“Kita tidak mahu perkara ini berulang pada TMM 2014 ini. Biarlah kami turut memberi khidmat bagi menjayakan program kerajaan itu dan dapatlah merasai sedikit sebanyak hasil daripada TMM,” katanya.

Katanya pihak berwajib harus mencari jalan supaya pemandu teksi dapat sama-sama memberi khidmat kerana industri pelancongan akan menjadi tulang belakang pendapatan Terengganu pada masa depan. — Bernama

Advertisement