Anda di sini

Nelayan digalak pasarkan sendiri hasil tangkapan

Advertisement

JERLUN: Golongan nelayan khususnya di Kedah digalakkan memasarkan sendiri hasil tangkapan mereka secara terus kepada pelanggan tanpa menggunakan orang tengah bagi membolehkan pengguna membeli ikan pada harga yang lebih berpatutan.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kerajaan sedar bahawa sejak Disember tahun lepas hingga kini, berlaku kenaikan harga ikan di pasaran terutamanya bagi jenis tertentu.

Beliau berkata fenomena ini adalah keadaaan biasa akibat peralihan angin monsun timur laut apabila keadaan laut bergelora dan berbahaya kepada aktiviti penangkapan ikan dan ia dijangka pulih menjelang awal Mac.

“Kita tidak mahu fenomena ini diambil kesempatan oleh sesetengah peniaga, terutama orang tengah untuk menaikkan harga sesuka hati,” katanya ketika merasmikan pasar nelayan dan jeti pendaratan ikan Kuala Jerlun di sini semalam.

Beliau berkata usaha Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menambah pasar nelayan dan pasar tani adalah langkah tepat dalam usaha mengurangkan peranan orang tengah.

“Jihad memerangi orang tengah sebagaimana slogan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bukanlah untuk menidakkan orang tengah tetapi sebahagian daripada peranan orang tengah boleh diambil alih nelayan dan petani, sekali gus memberikan manfaat lebih kepada para nelayan, petani dan pengguna.

“Difahamkan bilangan pasar nelayan dan pasar tani akan ditambah dalam usaha memperluaskan pemasaran ikan dan memberi kemudahan kepada pengguna untuk mendapat bekalan,” kata Mukhriz.

Sementara itu, beliau berkata usaha LKIM meningkatkan kemudahan gerai jualan ikan dan jeti Kuala Jerlun memberi faedah kepada 35 peniaga ikan serta kemudahan pendaratan kepada lebih 100 nelayan tempatan.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan melalui LKIM dan Jabatan Perikanan akan terus membantu membangunkan masyarakat nelayan terutama untuk menjamin kesinambungan usaha penangkapan ikan.

Katanya LKIM telah membelanjakan RM1.2 juta pada tahun lepas bagi pembinaan dan pembaikan sembilan jeti pendaratan di negeri ini.

“Projek jeti pendaratan ikan dan pasar ini adalah manifestasi ikrar kerajaan Barisan Nasional untuk mendahulukan rakyat. Kebajikan dan kepentingan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan yang susah akan terus terbela. — Bernama

Advertisement