Anda di sini

Lelaki terbunuh, Myvi terbalik dirempuh lori

Advertisement

KUCHING: Seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya di persimpangan lampu isyarat di Jalan Datuk Amar Stephen Yong di sini, petang semalam.

Mangsa, Lee Joon Fatt, 51, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius yang dialaminya dalam kemalangan tersebut yang berlaku sekitar jam 3.30 petang.

Menurut sumber, kemalangan berlaku apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu rakan mangsa dirempuh sebuah lori ketika mamasuki simpang Kampung Sinar Budi.

Akibat rempuhan tersebut, Myvi yang dinaiki mangsa dan rakannya terbabas sebelum terbalik di dalam parit besar beberapa meter dari tempat kejadian.

Mangsa yang dikatakan mengalami kecederaan serius di kepala dan beberapa anggota badan disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang bergegas ke tempat kejadian.

Manakala, rakan mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki dikhuatiri patah tulang kakinya selepas motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah kereta di Batu 4, Jalan Penrissen malam kelmarin.

Mangsa, 21, semasa kejadian dikatakan dalam perjalanan menuju ke sebuah pasar raya tidak jauh dari tempat kejadian apabila sebuah kereta jenis Proton Saga tiba-tiba memasuki simpang, dipercayai tanpa memberikan isyarat lampu.

Ekoran itu, mangsa dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar bahagian tepi belakang kereta Saga tersebut.

Menyedari keadaan sedemikian, kereta Saga berkenaan terus memecut laju melarikan diri dari tempat kejadian.

Orang awam yang menyaksikan kejadian segera membantu mangsa sebelum dia dikejarkan ke HUS menggunakan ambulans.

Mangsa sehingga berita ini ditulis semalam dikatakan masih menerima rawatan di HUS dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Advertisement