Anda di sini

Lelaki didenda RM5,000, tiga bulan penjara

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki didenda RM5,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini semalam kerana kesalahan menyembunyikan harta curi.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah menimbangkan beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Alex Mering, 25, dari Nanga Jela, Lubok Antu didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati dengan sengaja menyembunyikan/menghapuskan harta curi iaitu rantai emas bernilai RM1,000, wang tunai RM400, anting-anting emas (RM300) dan gelang emas RM1,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu sekitar jam 9 pagi antara 15 hingga 17 Januari lalu.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.

Advertisement