Anda di sini

Kafeteria Perpustakaan Negara disamun dua lelaki bersenjatakan parang

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kafeteria Perpustakaan Negara Malaysia di Jalan Tun Razak di sini disamun dua lelaki bersenjatakan parang kira-kira jam 1.30 petang semalam.

Pengusaha kafeteria itu Mahsuri Hassan, 50, berkata ketika kejadian, beliau sibuk menyediakan dokumen berkenaan urusan perniagaan sebelum dua lelaki memakai topeng dan berjaket biru memasuki kafeteria itu.

“Dua lelaki itu memakai topi keledar berwarna merah mengacukan parang kepada saya sebelum cuba menarik gelang tangan dan rantai yang saya pakai. Saya jerit minta tolong dan ketika itu hanya 10 pelanggan dan pekerja wanita sahaja beradadi sini.

“Setelah saya enggan memberi barang kemas, seorang daripada suspek itu bertindak mengambil peti wang yang dipenuhi hasil jualan dari pagi hingga tengah hari hampir RM3,000,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang menjalankan perniagaan di kafeteria itu sejak tiga tahun lepas, berkata selain duit, telefon bimbit dan cek yang disimpan di dalam peti itu turut dilarikan suspek.

Mahsuri berkata kedua-dua suspek memasuki kafeteria ketika waktu solat Jumaat apabila tiada lelaki di kawasan itu.

Beliau membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Tun Razak kira-kira jam  2 petang.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia Datuk Raslin Abu Bakar berkata ini kali pertama insiden itu berlaku di bangunan berkenaan.

“Kita 30 ada pengawal di bangunan ini, di mana 18 pengawal bertugas pada siang manakala 12 pengawal pada malam, namun tiada pengawal ditugaskan khususnya di kafeteria,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kamera litar tertutup dipasang di bangunan itu dan pihaknya akan membantu polis dalam siasatan kes itu. — Bernama

Advertisement