Anda di sini

Jawatankuasa bersama mampu tingkat keselamatan Lebuh India

Advertisement

KUCHING: Penubuhan Jawatankuasa Keselamatan di kawasan komersial Lebuh India diyakini dapat membantu merealisasikan sasaran sifar jenayah bagi pusat bandar raya ini.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, jawatankuasa yang melibatkan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Persatuan Peniaga Pusat Bandar Kuching, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak dan Plaza Merdeka itu akan memantau keselamatan di kawasan tersebut.

Menurutnya, selain rondaan yang dijalankan oleh PDRM, jawatankuasa itu turut menggunakan sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang dipantau secara 24 jam untuk meningkatkan keselamatan pengunjung khasnya pelancong.

“Saya bangga dengan jawatankuasa ini kerana telah menubuhkan rangkaian keselamatan sendiri bersama polis dan Plaza Merdeka termasuk orang (peniaga) di sekitar kawasan berkenaan bersama-sama memantau keselamatan melalui penyediaan CCTV sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Peniaga Pusat Bandar Raya Kuching, Jawatankuasa Peniaga Lebuh India, DBKU dan Plaza Merdeka di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam kelmarin.

Bercakap mengenai pembangunan di Lebuh India dan kawasan sekitarnya, Menteri Perumahan itu, berkata, pihaknya merancang untuk menubuhkan sebuah kawasan warisan di pusat bandar raya.

“Ia akan bermula dengan muzium dan projek itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat di mana bangunan baharu akan dibina dan juga penyambungan kepada muzium yang sedia ada.

“Selepas itu, kita akan menaik taraf kemudahan di Tebingan Kuching terutamanya Jambatan Emas (Golden Bridge) yang kini dalam pembinaan. Jambatan Emas ini akan menghubungkan Tebingan Kuching dengan Petra Jaya, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seterusnya sehingga ke bangunan DUN lama di Petra Jaya.

“Kawasan ketiga yang dinaik taraf adalah kemudahan di Tebingan Kuching iaitu kawasan yang merangkumi Kampung Masjid, kawasan Melayu lama dan Bintangor. Kita sekarang sedang memuktamadkan atau hampir menyiapkan Tebingan Kuching yang sedang dibina di kawasan khusus itu,” jelas Abang Johari.

Beliau memberitahu, kerajaan memperuntukkan RM17 juta untuk menaik taraf kawasan khusus terbabit melibatkan kawasan Esplanad Tebingan Kuching yang akan disambungkan dengan kawasan Melayu di Kampung Masjid dan Bintangor.

“Apabila Kuching menjadi unik, menarik dan bersih, orang akan datang dan ini bermakna perniagaan bagi anda. Untuk itu, saya memerlukan kerjasama daripada pemilik kedai kerana kita mahu membersihkan bahagian hadapan kedai-kedai.

“Ketika kita mahu mengekalkan seni bina bersejarah, kita juga mahu bahagian hadapan kedai kelihatan bersih dan berwarna-warni.

“Malah, dalam tempoh tiga tahun akan datang, kami akan sibuk menaik taraf infrastruktur di Lebuh India, Main Bazaar dan Jalan Gambier yang akan dihiasi dengan lampu sama seperti di Jalan Orchard, Singapura,” ujarnya.

Terdahulu, Pengerusi Peniaga-Peniaga Lebuh India Dato Wee Hong Seng berkata, CCTV akan dipasang di lokasi tertentu dan dipantau dari bilik kawalan keselamatan Plaza Merdeka.

Pada majlis itu, Abang Johari turut diterangkan tentang projek pembinaan bumbung di Lebuh India yang dijangka akan bermula bulan Ogos ini dan siap pada Mac tahun depan.

Advertisement