Anda di sini

Isu cetak rompak di Sarawak masih terkawal

Advertisement

KUCHING: Isu cetak rompak di Sarawak masih berada pada tahap terkawal dan tidak membimbangkan, kata Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (PPDNKK) Sarawak Stanley Tan.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak memandang remeh perkara itu dan merancang untuk menjalankan operasi dari semasa ke semasa untuk membendung isu tersebut.

Menurutnya, satu mesyuarat telah diadakan bulan lepas bagi merangka strategi khusus untuk menggempur sarang penjualan dan penghasilan bahan cetak rompak.

“Keadaan (cetak rompak) setakat ini masih terkawal. Namun kita tidak akan mendabik dada sebaliknya merancang untuk menjalankan operasi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai situasi cetak rompak di Sarawak.

Stanley menjelaskan, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan yang mengkhususkan kepada pembasmian masalah cetak rompak di negeri ini.

“Kami sudah bermesyuarat sebelum sambutan Tahun Baharu Cina mengenai isu ini (cetak rompak),” ujarnya.

Menurutnya lagi, setakat ini pihaknya belum menjalankan operasi memerangi masalah cetak rompak.

Individu atau syarikat yang melakukan kesalahan mencetak rompak di bawah Akta Hak Cipta 1987 boleh dikenakan denda minimum RM2,000 hingga RM20,000 bagi setiap salinan langgaran jika sabit kesalahan atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Advertisement