Anda di sini

Insurans untuk golongan bekerja sendiri dirancang

Advertisement

CEK: Riot (dua kiri) menyampaikan cek faedah PERKESO kepada Noraini Ayup, waris kepada Allahyarham Sazali Mohamad Rambli, bekas pemain bola sepak Sarawak yang bertugas di Petronas sebagai polis bantuan. Turut kelihatan Saripuddin (kiri) dan K. Selvarajah (dua kanan). — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merancang untuk memperkenalkan Skim Insurans Bencana Pekerjaan bagi golongan yang bekerja sendiri.

Menterinya, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, prihatin dengan kebajikan mereka yang bekerja sendiri maka kementerian menerusi PERKESO bercadang untuk melanjutkan skim tersebut kepada golongan ini bagi membolehkan mereka dilindungi atau mencarum kepada PERKESO.

“Kita sedia maklum bahawa golongan yang bekerja sendiri tidak dilindungi di bawah PERKESO dan atas sebab itu kementerian menerusi PERKESO memikirkan untuk mencari jalan bagaimana golongan ini boleh dilindungi atau menyumbang kepada PERKESO.

“Sebab itu kami merancang untuk melanjutkan skim insurans yang disediakan oleh PERKESO ini kepada golongan yang bekerja sendiri dan menjangkakan akan dilaksanakan serta dikuatkuasakan pada tahun 2015,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Kepada Penerima Faedah di pejabat PERKESO di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Dato Saripuddin Kasim, Ketua Eksekutif PERKESO Datuk K. Selvarajah, Pengarah PERKESO Negeri Sarawak John Riba Marin serta lain-lain.

Terdahulu, pada sidang media itu Riot turut mengumumkan bahawa PERKESO dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia akan menyediakan kemudahan persidangan Jemaah Doktor Khas di Miri dan Sibu bagi menangani taksiran Penyakit Khidmat di kalangan pencarum PERKESO di negeri ini.

Sebelum ini menurut beliau, semua pencarum PERKESO di negeri ini perlu ke Hospital Umum Sarawak (HUS) sahaja untuk menghadiri persidangan Jemaah Doktor Khas berkaitan permohonan faedah Penyakit Khidmat.

Dengan adanya kemudahan baharu yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac ini, ia menurut Riot bukan sahaja memudahkan pencarum menghadiri persidangan Jemaah Doktor Khas malah membantu meringankan kos yang perlu ditanggung untuk ke HUS.

Perlindungan terhadap Penyakit Khidmat merupakan salah satu faedah yang disediakan oleh PERKESO melalui Skim Insurans Bencana Pekerjaan.

Antara Penyakit Khidmat yang sering dihadapi oleh pekerja dan dilindungi oleh Skim PERKESO termasuk sakit belakang, hilang pendengaran disebabkan oleh pendedahan kepada bunyi bising, penyakit asma pekerjaan, penyakit sindrom terowong karpal disebabkan oleh pekerjaan serta sakit tengkuk.

“Semakan oleh PERKESO sepanjang tempoh 2012 hingga 2014 menunjukkan 247 permohonan untuk faedah penyakit khidmat di seluruh Sarawak, 37 kes di Sibu dan 64 kes di Miri.

“Dengan penubuhan panel Jemaah Doktor Khas di Hospital Sibu dan Hospital Miri ia akan memudahkan urusan menangani permohonan faedah berkaitan dengan Penyakit Khidmat di kalangan pencarum PERKESO di Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, terdapat seramai 1.05 juta pekerja yang dilindungi oleh Skim Insurans Bencana Pekerjaan di Sarawak ketika ini.

Semua majikan yang mempunyai pekerja yang layak mencarum diwajibkan untuk mendaftar dan melindungi pekerja mereka di bawah Skim Insurans Bencana Pekerjaan.

Caruman untuk skim ini dibuat oleh majikan sahaja pada kadar 1.25 peratus gaji bulanan tertakluk kepada gaji maksimum RM3,000.

Majikan yang gagal mencarum boleh didakwa di mahkamah dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Advertisement