Anda di sini

Bekas pegawai bank berdepan 75 pertuduhan pecah amanah

Advertisement

KUANTAN: Seorang bekas pegawai khidmat pelanggan RHB Bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 75 pertuduhan pecah amanahmembabitkan RM584,409.83 dari 2007 hingga 2011.

Calvin Soo Koon Jin, 38, yang memakai baju-T hitam dan seluar jeans, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di depan HakimDatuk Zainal Abidin Kamaruddin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM75,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Mac untuk sebutan semula kes.

Zainal Abidin juga mengarahkan Soo menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melarang tertuduh keluar dari daerah ini tanpa kebenaran serta melaporkan diridi balai polis berhampiran.

Soo didakwa melakukan kesalahan itu di dua lokasi iaitu RHB Bank cawangan Jalan Teluk Sisek dan RHB Bank cawangan Jalan Putra Square 1 di sini antara 4 Dis 2007 dan 19 Okt 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabitkesalahan.

Mengikut pertuduhan, Soo didakwa mengeluarkan wang daripada akaun simpanan Lai Keng Tong tanpa pengetahuan melibatkan jumlah antara RM500 hingga RM100,000 dan menggunakan wang itu untuk kegunaan sendiri.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wahida Zainal Abidin menawarkan jaminan sebanyak RM750,000 bagi kesemua pertuduhan.

Peguam Bob Arumugam, ketika meminta jumlah jaminan dikurangkan, memaklumkan Soo sudah bercerai dan menyara dua anak serta seorang ibu berusia 66 tahun.

Beliau berkata tertuduh tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap selepas dipecat RHB Bank pada Julai 2012.

Katanya, Soo juga baharu berhenti kerja sebagai kelindan lori minggu lepas untuk menghadiri perbicaraan kes ini. — Bernama

Advertisement