Anda di sini

Abang Johari tetap enggan ulas spekulasi

Advertisement

KUCHING: Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Openg tetap enggan mengulas mengenai spekulasi pengunduran Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri melalui kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak lebih awal dari tempoh tamat penggal pada April 2016.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan memberitahu tidak tahu-menahu mengenai taklimat persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 oleh pasukan keselamatan, termasuk polis yang akan diadakan di Pejabat Ketua Menteri di sini pada Isnin ini.

“Saya tidak tahu. Saya tidak berani memberikan komen. Jika saya tahu, saya pasti akan memberitahu anda,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan muka hadapan sebuah akhbar yang menyatakan bahawa bahawa PRN akan diadakan lebih awal.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis penyampaian bungkusan dan sumbangan kepada 25 warga emas sempena Tahun Baharu Cina 2014 di Sarawak Hun Nam Siang Tng di sini.

Advertisement