Anda di sini

32 kes kesalahan tidak guna tanda harga merah jambu

Advertisement

KUCHING: Sarawak mencatatkan 32 kes di bawah kesalahan tidak menggunakan tanda harga merah jambu bagi barangan kawalan yang ditetapkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) bersempena Tahun Baharu Cina (TBC), baru-baru ini.

Skim yang bermula 26 Januari sehingga kelmarin (6 Februari) itu mendapati, peniaga yang dikesan melanggar peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 merangkumi 16 kes di Kuching serta satu kes masing-masing di Sri Aman, Sarikei dan Limbang.

Sementara itu, bagi 13 kes yang lain pula dicatatkan di Kapit dengan empat kes, Bintulu (lima kes) dan Miri (empat kes).

Menurut Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Stanley Tan, kesemua kes yang melanggar AKHAP 2011 sepanjang SKHMP itu akan dikompaun dengan nilai kompaun yang telah ditetapkan.

“Sebanyak 32 kes tidak meletakkan tanda harga merah jambu terutama pada barangan kawalan musim perayaan seperti ayam, telur, bawang putih dan sayur kubis bulat.

“PPDNKK akan mengambil tindakan ke atas peniaga yang melanggar kesalahan dengan mengenakan kompaun sebanyak RM3,200 untuk setiap peniaga itu,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), semalam.

Menurutnya, sekiranya peniaga gagal membayar kompaun itu, mereka (peniaga) boleh dikenakan pertuduhan di mahkamah dan jika didapati bersalah, peniaga boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi peniaga persendirian serta tidak melebihi RM20,000 bagi syarikat.

SKHMP itu juga mendapati sebanyak tiga kes lain dikesan di bawah kesalahan tidak mempamer tanda harga pada barangan kawalan di seluruh negeri ini, ujarnya.

“Bagi kesalahan gagal mempamer tanda harga pula, kes itu akan didaftarkan di mahkamah dan jika didapati bersalah seseorang itu boleh didenda tidak melebihi daripada RM50,000 atau dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi syarikat pula, peniaga boleh didenda tidak melebihi RM100,000.

“Operasi harga ini akan berterusan hingga penghujung tahun ini dan pihak penguasa KPDNKK akan menjalankan pantauan setiap hari di mana-mana premis perniagaan terutama lokasi aduan oleh pengguna,” tambahnya.

Pada masa sama, Stanley menyeru agar orang ramai mengetahui hak mereka sebagai pengguna dan segera melaporkan sebarang kenaikan harga barangan yang melampau dibuat oleh peniaga.

“Saya mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai untuk membuat laporan terus kepada kami jika terdapat mana-mana premis yang menaikkan harga barangan sesuka hati.

“Kerjasama daripada orang ramai akan memudahkan pihak penguat kuasa kami untuk terus membuat siasatan dan kami akan ambil tindakan tegas untuk tujuan itu,” katanya.

Advertisement