Anda di sini

Tujuh ditahan tunda balak

Advertisement

KAYU balak tanpa dokumen lengkap dan bot nelayan yang dirampas oleh anggota APMM Sandakan.

SANDAKAN: Tujuh awak-awak ditahan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Sandakan (DM17) pada Rabu selepas didapati menunda sembilan batang kayu balak yang disyaki tidak memiliki dokumen lengkap.

Ketua Penguatkuasa DM17 Kapten Maritim A Razak Abd Rahman dalam satu kenyataan berkata, kesemua awak-awak yang berumur lingkungan 30an-50an itu ditahan kira-kira jam 5.15 petang Rabu menerusi rondaan bot laju APMM Sandakan di kawasan perairan Tanjung Batu di sini.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan itu menunda sembilan batang kayu balak yang disyaki tidak memiliki dokumen yang lengkap.

Bot dan kayu balak berkenaan dirampas dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, empat daripada tujuh awak-awak yang ditahan turut disiasat berikutan mempamerkan dokumen diri yang meragukan. Manakala, tiga awak-awak lain adalah warganegara tempatan.

Empat awak-awak yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Sebarang maklumat berhubung kegiatan jenayah atau aktiviti mencurigakan di kawasan pantai atau perairan Sandakan boleh menghubungi APMM Sandakan di talian 089-229504.

Advertisement