Anda di sini

Tiga juta pesakit dirawat dalam wad tahun lepas

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tahap kesihatan rakyat Malaysia kini berada di tahap membimbangkan kerana direkodkan tiga juta pesakit dirawat di dalam wad hospital kerajaan dan swasta di negara ini tahun lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata jumlah itu dilihat besar kerana ia melibatkan lebih daripada sepuluh peratus jumlah keseluruhan rakyat Malaysia iaitu 27 juta.

“Ia satu jumlah yang tinggi dan membimbangkan yang perlu diambil serius semua rakyat.

“Setiap individu perlu mengambil langkah awal menjaga kesihatan kerana kos mencegah lebih murah daripada kos mengubati,” katanya.

Dr Hilmi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Orion Healthcare Management Services Sdn Bhd dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Orion Healthcare Management Datuk Dr Ma’amor Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Orion Healthcare Management Kho Brandon dan Presiden Angkasa Datuk Abdul Fattah Abdullah.

MoU itu ditandatangani oleh Kho dan Abdul Fattah disaksikan Dr Hilmi dan Dr Ma’amor.

Dr Hilmi berkata kesihatan yang baik bukan sahaja menyumbang kepada kemajuan pembangunan negara sebaliknya membantu kerajaan menjimatkan kos dalam aspek rawatan perbelanjaan.

“Kesihatan rakyat yang merosot telah meningkatkan kos untuk rawatan yang dikeluarkan kerajaan iaitu RM20 bilion pada tahun 2013 dan RM22 bilion pada tahun ini,” katanya.

Mengulas mengenai MoU itu, Dr Hilmi berkata ia merupakan jalinan kerjasama antara Orion dan Angkasa dalam mewujudkan kesedaran pentingnya pemeriksaan kesihatan kepada semua anggota koperasi.

Dr Ma’amor berkata melalui kerjasama itu Orion Healthcare Management akan bertindak sebagai satu entiti untuk memberi penerangan dan rawatan pemeriksaan kesihatan kepada kira-kira lapan juta anggota koperasi.

Abdul Fattah pula berkata kerjasama itu juga selain memberi peluang kepada anggota membuat pemeriksaan kesihatan, ia turut membolehkan koperasi meningkatkan pendapatan melalui program peningkatan kualiti produk, untuk mewujudkan usahawan koperasi yang berjaya. — Bernama

Advertisement