Anda di sini

‘S’wak Food Trail’ promosi makanan tradisi

Advertisement

KUCHING: Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia negeri di bawah Kementerian Pelancongan Malaysia kini dalam perincian melaksanakan ‘Sarawak Food Trail’ yang memaparkan premis dan makanan tradisi serta menarik di Sarawak pada tahun ini.

Pengarahnya Salahuddin Mohd Arifin berkata, ‘Sarawak Food Trail’ merupakan salah satu usaha pihaknya dalam mempromosikan makanan tradisi Sarawak kepada pelancong di sini.

Menurutnya, selain memperkenalkan tempat-tempat menarik di negeri ini, Tourism Malaysia negeri berpendapat makanan yang pelbagai di sini perlu dipromosikan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke Sarawak.

“Saya sendiri lihat pelancongan Sarawak mempunyai banyak potensi untuk dibangunkan terutama makanannya seperti Laksa Sarawak, mi jawa, mi kolok, sagu dan banyak lagi.

“Oleh sebab itu, kami akan berbincang dengan Kementerian Pelancongan Sarawak dan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) bagi menganjurkan pelbagai program yang sedang kami rancangkan seperti ‘Sarawak Food Trail’ ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa kunjungan di Laksa Chef Ahid di Benteng Medan Niaga Satok di sini, semalam.

Tambahnya, banyak gerai dan premis di sini menyediakan pelbagai hidangan menarik dan unik sebagai tarikan pelancong untuk datang dan merasai sendiri makanan yang ditawarkan.

Oleh itu, jelasnya, program ini amat sesuai bagi mempromosikan mengenai keunikan makanan dan tempat menarik yang terdapat di negeri ini.

Turut hadir semasa kunjungan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni dan ADUN Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Advertisement