Anda di sini

PWPM amat perlu tempat baharu untuk laksana aktiviti: Srimurniyati

Advertisement

MIRI: Persatuan Wanita Petroleum Miri (PWPM) amat memerlukan sebuah tempat yang baharu untuk menjalankan aktiviti mingguan mereka berikutan Hornbill House yang dijadikan rumah persatuan sebelum ini telah dikembalikan kepada kerajaan oleh Sarawak Shell.

Berikutan itu, menurut presiden PWPM yang baharu dilantik, Srimurniyati (Yati) Cranfield, aktiviti mingguan anjuran persatuan terpaksa dihentikan sementara waktu sejak mengosongkan Hornbill House pada Disember lalu.

Selain persatuan mereka, katanya, Hornbill House yang terletak di dalam kawasan Piasau Camp turut dikongsi bersama Outpost Miri sejak beberapa dekad lalu.

“Tiada sebarang aktiviti dianjurkan sejak Disember tahun lepas kecuali mesyuarat agung tahunan pada 13 Januari lalu di Kelab Bot Piasau (PBC),” ujarnya sambil mengucapkan terima kasih atas kemurahan hati pihak PBC yang telah memberikan kebenaran sementara untuk mereka mengadakan mesyuarat di premis tersebut.

Menurut Yati, sebagai sebuah persatuan bukan berkeuntungan, PWPM amat mengharapkan kerajaan atau pihak berkuasa termasuk mereka yang bakal membangunkan Piasau Camp sebagai taman simpanan semula jadi dapat mempertimbang untuk menempatkan sebuah bangunan di kawasan itu agar mereka dapat menjalankan aktiviti.

“Malangnya sekarang, bukan hanya aktiviti mingguan yang tidak dapat dijalankan malah beberapa aktiviti lain seperti menganjurkan rumah terbuka untuk beberapa perayaan termasuk rumah terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) juga tidak dapat dianjurkan seperti kebiasaan,” katanya.

Sehubungan itu, kata Yati, mereka kini sedang berbincang untuk mendapatkan lokasi sesuai untuk mengadakan rumah terbuka TBC tahun ini.

“Biasanya, kami akan melakukan aktiviti memasak bersama untuk rumah terbuka bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim, pertukaran budaya, memupuk semangat kerjasama selain bertukar resipi di kalangan sesama ahli,” ujar beliau lanjut.

Bagaimanapun, katanya, memandangkan kini mereka tidak mempunyai tempat khusus, sudah pasti konsep sambutan tahun ini juga berbeza dan mereka terpaksa mencari tempat baharu yang kemungkinan terpaksa disewa.

Pada tahun lalu, menurut Yati, PWPM mengadakan beberapa rumah terbuka untuk beberapa perayaan utama seperti TBC, Hari Raya Aidilfitri, Gawai Dayak, Pesta Kaamatan, Deepavali, Krismas serta Rumah Terbuka Jepun dan Indonesia.

Manakala, program mingguan yang sering dianjurkan mereka seperti membuat barangan kraf untuk membantu golongan memerlukan, menari dan demonstrasi memasak selain mengadakan lawatan sambil belajar ke beberapa badan kebajikan dan organisasi di sini.

Malah, menurut beliau, melalui beberapa program amal yang dianjurkan PWPM, tahun lalu mereka berjaya menyumbang RM5,000 kepada Pusat Dialisis Buah Pinggang Bulan Sabit Merah Miri, RM2,450 untuk mangsa taufan Haiyan di Filipina serta sebahagian lagi untuk beberapa rumah kebajikan dan Hospital Miri.

Dalam pada itu, menurut Yati, PWPM kini mempunyai 80 ahli dari Malaysia, Filipina, Indonesia, Nigeria, Kanada, Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, India, China dan Jepun.

Katanya, sejak ditubuhkan pada tahun 1986, keahlian PWPM hanya dibuka kepada golongan wanita yang merupakan kakitangan atau isteri kepada kakitangan dan ahli keluarga kakitangan Sarawak Shell Berhad, Sabah Shell Berhad, Petronas Bhd, Petronas Carigali Sdn Bhd serta kontraktor yang berkaitan industri petroleum yang tinggal di Miri.

Bagaimanapun, selepas 10 tahun penubuhannya iaitu pada 1996, keahlian diperluaskan kepada semua golongan wanita di Miri untuk menggalakkan pertukaran budaya.

Manakala yuran penuh keahlian adalah RM30 seorang iaitu RM20 untuk keahlian bersekutu dan RM10 untuk tahunan.

Advertisement