Anda di sini

Profil syarikat mahu bekerjasama UKAS akan disemak: Abu Kassim

Advertisement

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merancang mengadakan semakan terhadap syarikat-syarikat yang mahu bekerjasama dengan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata ia bagi memastikan hanya syarikat yang benar-benar berintegriti dan bebas daripada sebarang tohmahan akan dipilih untuk bekerjasama atau mendapat kemudahan dengan kerajaan.

Semakan itu bagi memastikan kerjasama antara pihak-pihak terlibat tidak akan menimbulkan sebarang masalah pada masa akan datang, katanya pada majlis penyerahan dokumen ikrar integriti korporat (CIP) oleh syarikat-syarikat berkaitan projek kerjasama awam swasta (PPP) dan dana mudahcara di sini, semalam.

“Setelah pegawai-pegawai kita berada di UKAS dan mengadakan siri-siri perbincangan dengan UKAS serta beberapa inisiatif diambil, kita hendak jadikan UKAS sebagai organisasi yang menerajui isu-isu integriti.

“Ini menunjukkan kesungguhan kita untuk membanteras rasuah,” katanya.

Pada majlis itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah UKAS Datuk Ahmad Husni Hussain menyaksikan majlis penyerahan dokumen itu oleh 35 syarikat kepada Abu Kassim.

Dengan menandatangani CIP, syarikat-syarikat itu perlu mematuhi beberapa perkara antaranya mempromosikan nilai-nilai ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik, memperkukuhkan mekanisme kawalan dalaman dengan memasukkan elemen-elemen menyokong pencegahan rasuah dan pematuhan undang-undang serta peraturan berkaitan memerangi rasuah.

Sementara itu, Ahmad Husni berkata UKAS sentiasa bersedia bekerjasama dengan SPRM untuk memperluaskan penyebaran kepentingan CIP dan menggalakkan syarikat-syarikat lain menandatangani CIP.

“Dengan inisiatif sebegini diharap dapat meningkatkan lagi keyakinan pelabur dalam dan luar negara untuk turut serta dalam pembangunan ekonomi Malaysia,” katanya. — Bernama

Advertisement