Anda di sini

PELITA cemerlang jana pembangunan S’wak

Advertisement

SERAH: Awang Tengah menyampaikan cek bernilai RM1 juta kepada Wahab sebagai wakil Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak pada majlis Malam Puspawarna PELITA di Kuching, malam kelmarin.

KUCHING: Kecemerlangan dan pengalaman Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) selama lebih 30 tahun dalam bidang perniagaan membuahkan hasil apabila PELITA bersama anak syarikat serta bersekutunya memiliki aset terkumpul berjumlah RM1.825 bilion pada masa ini.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, model perniagaan cemerlang PELITA sejak ditubuhkan pada 1981 terbukti berkesan apabila dapat menjana pembangunan ekonomi dan kekayaan bagi negeri serta rakyat Sarawak.

“PELITA telah ditubuhkan pada bulan Jun 1981 sebagai sebuah badan berkanun milik kerajaan negeri dengan matlamat untuk menjadi pemangkin dalam pembangunan tanah di Sarawak.

“Aktiviti utama PELITA termasuk Pembangunan Bandar dan Hartanah, Pembangunan Perladangan dan Pusat Pertumbuhan Desa dan kini, PELITA dan Pelita Holdings Sdn Bhd (PHSB) memiliki aset terkumpul berjumlah RM1.825 bilion,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada majlis Malam Puspawarna PELITA di sini, malam kelmarin.

Awang Tengah berkata, selepas lebih daripada 30 tahun terlibat dalam bidang perniagaan, PELITA bukan sahaja menjadi pemangkin pertumbuhan dan pembangunan, malah penjana perubahan ekonomi Sarawak.

“PELITA telah menyumbang dengan ketara ke arah pembangunan tanah di Sarawak.

PELITA telah bekerjasama dengan sektor swasta untuk mensinergikan hartanah dan pembangunan perladangan di negeri ini dengan menggembleng sumber kewangan, modal dan kepakaran pengurusan sektor swasta.

“Projek usaha sama ini adalah lebih menjurus ke arah menjana pembangunan ekonomi dan kekayaan bagi negeri serta rakyat,” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian menambah, PELITA telah menyumbang dalam menambah mercu tanda baharu di bandar raya Kuching dan bandar-bandar utama lain di Sarawak dalam projek kediaman dan komersial, menaik taraf kawasan luar bandar dan bandar-bandar kecil yang sedia ada.

Sebagai pemangkin, katanya, PELITA menerajui pembangunan pusat pertumbuhan dalam negeri, menaik taraf pekan lama dan mewujudkan bandar-bandar baharu untuk menyediakan serta memperbaiki kemudahan asas dan infrastruktur untuk kebaikan penduduk luar bandar serta bandar.

“PELITA turut diberi tanggungjawab untuk membangunkan Darul Hana di Kampung Seberang Hilir.

Pembangunan tersebut bertujuan meningkatkan taraf hidup masyarakat tempatan dan memodenkan kampung Melayu serta pada masa yang sama, memelihara suasana kampung.

“Selain itu, projek pemanjangan Tebingan Kuching yang merupakan satu lagi pelan transformasi dilaksanakan kerajaan negeri sekali lagi memberikan kepercayaan kepada PELITA dengan kerjasama Ibraco Berhad.

“Kepentingan projek pemanjangan ini adalah untuk mengubah tebing sungai ke dalam pembangunan yang rancak dan moden dengan persiaran tepi sungai aktif yang memenuhi keperluan untuk orang awam, pelancong, masyarakat sebagai titik tumpuan bagi pelbagai aktiviti,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap PELITA akan meneruskan usaha meningkatkan prestasinya pada masa depan seterusnya menyumbang kepada negeri ini.

Pada majlis tersebut, turut diadakan penyampaian derma daripada Pelita Holdings Sdn Bhd dan Magna Focus Sdn Bhd masing- masing bernilai RM1 juta kepada Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak.

Turut diadakan bagi memeriahkan majlis ialah persembahan bangsawan (petikan dari filem ‘Hang Tuah’ dan ‘Panggilan Pulau’) serta nyanyian beramai-ramai ‘Taman Puspawarna.

’ Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing, Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohamad Morsidi Abdul Ghani, Pengurus Besar PELITA Datu Dr Sulaiman Hussaini serta Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Abdul Wahab Aziz.

 

Advertisement