Anda di sini

Najib beri jaminan bantu SUPP cari jalan selesaikan krisis: Dr Chan

Advertisement

MIRI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan dan melahirkan kesungguhan beliau untuk membantu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bagi mencari jalan menyelesaikan krisis- krisis yang membelenggu parti tertua di Sarawak itu.

Bekas presiden yang kini bertindak sebagai penasihat parti terbabit, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam memberitahu, hasil pertemuan beliau dan pemimpin SUPP yang lain dengan Najib di Putrajaya baru-baru ini telah memberikan mereka harapan dan jaminan bahawa parti itu mungkin dapat diselamatkan.

“Kami telah pun bertemu dengan Perdana Menteri dan beliau bersedia serta bersungguh mahu membantu kami khususnya dalam mencari penyelesaian kepada masalah yang melanda parti ini.

“Beliau (Najib) bersedia menjadi orang tengah atau penasihat di mana beliau akan memberi nasihat, apatah lagi dengan pengalamannya yang amat luas dalam arena politik negara ini,” jelasnya.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita semasa ditemui di kediamannya selepas menerima kunjungan Yang di- Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah pada hari ketujuh sambutan Tahun Baharu Cina di sini, semalam.

Dr Chan berkata, walaupun bertindak sebagai penasihat parti, namun beliau menegaskan tidak akan campur tangan dalam membuat keputusan bagi menyelesaikan krisis-krisis yang melanda parti itu.

Sebaliknya, beliau menyerahkan kepada pemimpin dan ahli parti itu sendiri untuk menyelesaikannya dengan mencapai keputusan sebulat suara, demi kebaikan parti itu, terutama menjelang Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali (TDC) parti yang dijadualkan tahun ini.

Pada masa sama, beliau mahu semua ahli parti itu, dari peringkat pemimpin tertingginya hingga ke akar umbi, agar melupakan segala persengketaan dan perkara- perkara yang lepas, sebaliknya kembali bersatu demi masa depan dan kebaikan parti itu.

“Buang yang keruh, ambil yang jernih.

Itu yang mampu saya katakan kepada semua ahli parti, agar melupakan semua perkara yang sudah lepas.

“Sempena Tahun Baharu Cina ini, kita (ahli SUPP) sebagai sebuah keluarga yang besar, perlu lupakan perkara yang lepas dan pandang ke hadapan serta melihat apa yang patut kita lakukan untuk membolehkan semua ahli keluarga (SUPP) kembali bersatu dan menghidupkan semula parti ini,” tambah beliau.

Dr Chan memegang tampuk kepimpinan parti itu selama 14 tahun sebelum beliau melepaskan jawatannya sebagai Presiden, ekoran kekalahan teruk SUPP pada Pilihan Raya Negeri 2011 yang turut menyaksikan kegagalan beliau mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau yang dimenangi Parti Tindakan Demokratik (DAP) melalui calon mudanya, Alan Ling.

 

Advertisement