Anda di sini

Kursus BI untuk pemandu teksi di Terengganu

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Kolej Komuniti Kuala Terengganu (KKKT) mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan kursus bahasa Inggeris untuk pemandu teksi di negeri ini.

Ketua Jabatan Pengajian Sepanjang Hayat KKKT Johari Omar berkata menerusi kursus empat hari itu, pemandu teksi diajar bahasa Inggeris yang mudah bagi membolehkan mereka berinteraksi dengan pelancong asing, lebih-lebih lagi sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 ini.

“Kebanyakan mereka berumur 40 tahun ke atas dan tidak faham bahasa Inggeris.

Jadi kita mengajar mereka bahasa Inggeris manakala pemandu teksi mengiklankan peluang belajar di KKKT di teksi-teksi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Kolaborasi KKKT dengan Persatuan Pemandu Teksi Kuala Terengganu dan Marang yang disempurnakan Penasihat KKKT Datuk Mohd Sabri Alwi di sini hari ini.

Sebanyak 45 pemandu teksi telah mengikuti kursus singkat empat hari dalam dua sesi pada 17/18 Jan dan 24/25 Jan lalu.

Johari berkata selepas menjalani kursus itu, pemandu teksi didapati memahami beberapa perkataan dan ungkapan asas bahasa Inggeris bagi memudahkan mereka berinteraksi dengan pelancong  asing.

Beliau berkata selepas ini KKKT akan mengadakan kursus yang  sama kepada pemandu-pemandu bot pelancong ke Pulau  Perhentian, Besut.

Ahmad Che Nuh, 55, ketika ditemui berkata kursus itu sangat berguna kepada mereka. — Bernama

Advertisement