Anda di sini

Jangan ‘alibaba’ lesen kontraktor

Advertisement

KOTA KINABALU: Kontraktor bumiputera yang memperolehi lesen menerusi kursus yang dianjurkan kerajaan diingatkan supaya tidak menyalahgunakan atau ‘mengalibabakan’ lesen masing-masing.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Hamisa Samat berkata, sebaiknya pihak berkenaan memanfaatkan segala ilmu yang dipelajari dalam kursus itu.

Menurutnya, peluang yang ada sepatutnya digunakan untuk meningkatkan prestasi dan mutu dalam kerjaya.

“Terdapat sesetengah kontraktor bumiputera yang mengalibabakan lesen yang diterima dengan menyerahkannya kepada sub-kontraktor atau orang ketiga.

“Situasi seperti ini berlaku kerana mereka tidak memiliki pengetahuan dan memohon lesen semata-mata untuk mendapatkan projek.

“Bukan mudah untuk mendapatkan lesen kontraktor. Tetapi, pihak terbabit hanya memandang aspek keuntungan sahaja walau terpaksa berbahagi untung dengan pihak lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan Kursus Kontraktor Kerja Jalan Raya anjuran kementeriannya di sini kelmarin.

Teks ucapannya disampaikan oleh Penolong Setiausaha Kanan Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Ameng Ruggan.

Selain itu jelasnya, isu kontraktor tidak menjalankan kerja mengikut spesifikasi yang ditetapkan sering dibangkitkan oleh kerajaan.

“Walaupun isu berkenaan sering diperkatakan, namun masih ada lagi kontraktor yang mengulangi kesilapan sama.

“Sehubungan itu, saya mahu agar kontraktor bumiputera di negeri ini khususnya mereka yang menyertai kursus dan bakal menjadi kontraktor supaya melaksanakan tugas yang berkualiti.

“Kerajaan menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan seperti kursus asas kontraktor bagi membantu para kontraktor bumiputera memajukan perniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, sebagai kontraktor yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini, mereka hendaklah lebih bertanggungjawab dalam menjaga kualiti kerja dan menyiapkan projek mengikut tempoh yang ditetapkan.

Kursus tiga hari itu dikendalikan oleh penceramah, Norazman Utoh Nain dan ia disertai seramai 80 peserta.

Advertisement