Anda di sini

Jabu, Asfia enggan ulas pasal spekulasi

Advertisement

KUCHING: Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang enggan mengulas mengenai spekulasi persaraan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Malah, beliau turut mengambil sikap tunggu dan lihat sama ada spekulasi itu akan menjadi topik perbincangan utama pada Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Sabtu ini.

“Kami akan memberitahu anda selepas mesyuarat itu nanti. Buat masa ini, saya tidak boleh membuat sebarang spekulasi mengenai perkara ini.

“Mesyuarat pada Sabtu ini adalah mesyuarat lazim bagi parti dan sama ada parti akan membuat sebarang pengumuman khas atau tidak, ia hanya akan diketahui selepas mesyuarat itu nanti,” katanya sambil meminta para media agar bersabar.

Jabu

Jabu berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Tetap PBB Datuk Amar Awang Asfia Awang Nassar yang juga Speaker DUN berkata, berita muka depan Berita Harian hanyalah spekulasi dan bukan sesuatu yang terkini.

Beliau yang tidak terkejut dengan spekulasi itu berkata, spekulasi tetap spekulasi dan beliau tidak akan membuat satu lagi spekulasi.

“Spekulasi tersebut tiada kejutan bagi saya kerana itu adalah spekulasi dan tiada apa yang baharu,” ujarnya.

Menyentuh mengenai agenda mesyuarat pada Sabtu ini, Asfia berkata, tiada sebarang agenda ditetapkan untuk mesyuarat itu dan apa yang akan dibincangkan hanya akan dibangkitkan pada mesyuarat itu.

Malah, beliau turut menolak mesyuarat tersebut akan membincangkan mengenai Yang di-Pertua Negeri baharu bagi menggantikan Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin yang bakal tamat tempoh perkhidmatan.

“Siapa Yang di-Pertua Negeri yang seterusnya tidak akan dibincangkan dalam mesyuarat itu kerana ia adalah di luar bidang kuasa.

“Di bawah Perlembagaan Sarawak adalah jelas bahawa Yang di-Pertua Negeri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas rundingan dengan Ketua Menteri.

Asfia

“Buat masa ini pihak negeri belum mencadangkan sebarang nama untuk Yang di-Pertua Negeri yang seterusnya dan jelas sekali ia tidak akan dibincangkan pada mesyuarat MKT Sabtu ini,” kata Asfia.

Advertisement