Anda di sini

FAM putus JDT menang 3-0 ke atas T-Team

Advertisement

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) layak ke suku akhir Piala FA selepas diberi kemenangan 3-0 ke atas T-Team oleh Jawatankua­sa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat JKPT yang ber­sidang hampir lima jam di Wisma FAM, Kelana Jaya, dekat sini, bagi membincang­kan status perlawanan pusin­gan kedua di antara JDT dan T-Team, yang tertangguh, Sabtu lepas.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata keputusan itu dibuat berdasarkan Perkara 4.12.15b peraturan pertandingan Liga Malaysia 2013-2016 kerana kesalahan T-Team menarik diri pada baki perlawanan tanpa alasan yang kukuh.

Beliau berkata keputusan mesyuarat jawatankuasa itu dibuat selepas mengambil kira keterangan yang telah diberikan oleh kedua-dua pasukan (JDT dan T-Team), pengadil, pegawai perlawanan dan pegawai penyelaras.

Pada perlawanan di Sta­dium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor, T-Team, yang ketinggalan 2-1 pada separuh masa, enggan meneruskan perlawanan separuh masa kedua atas alasan faktor kes­elamatan.

T-Team mengambil tindakan tersebut selepas mendakwa seorang pemain dan jurulatih kecergasannya dikasari oleh pihak pengu­rusan tertinggi JDT semasa menuju ke bilik persalinan di stadium berkenaan.

Berikutan insiden itu, ked­ua-dua pasukan itu membuat laporan polis.

Sementara itu, Pengerusi JKPT merangkap Naib Presi­den FAM, Datuk Affandi Hamzah berkata hanya pen­gadil dan pegawai pertand­ingan sahaja mempunyai kuasa untuk meneruskan atau menghentikan sesuatu per­lawanan dan bukan pasukan yang bertanding.

Dalam hal itu, katanya, pen­gadil dan pegawai pertand­ingan mengesahkan bahawa perlawanan tersebut boleh diteruskan namun T-Team tetap dengan pendirian untuk tidak mahu menghabiskan perlawanan separuh masa kedua. — Bernama

Advertisement