Anda di sini

APMM Tawau tahan 13 lagi PTI

Advertisement

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau sekali lagi menggagalkan cubaan 13 pendatang tanpa izin (PTI) yang cuba menyusup masuk ke negara ini melalui daerah ini.

Ketua Penguatkuasa Maritim Tawau Kapten (M) Anor Jaafar berkata, terbaharu tujuh lelaki dan tiga wanita dewasa termasuk dua kanak-kanak lelaki dan seorang bayi perempuan ditahan.

“Kesemua mereka yang ditahan berumur enam bulan hingga 50-an,” katanya di sini kelmarin berhubung kejayaan terbaharu APMM Tawau membendung kehadiran PTI ke negeri ini.

Anor berkata, kejayaan itu direkodkan pada Rabu lepas kira-kira jam 10.10 pagi di perairan Tawau hasil daripada pemeriksaan di sebuah bot laju yang disyaki bergerak dari Sg Nyamuk, Indonesia.

Menurutnya, APMM Tawau turut menahan juragan bot terbabit dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua PTI yang ditahan gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri.

“Kesemua mereka ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan ini adalah tangkapan kali kedua dalam tempoh 24 jam selepas kejayaan penangkapan 14 PTI pada sehari sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, APMM akan meningkatkan lagi tugas-tugas penguatkuasaan untuk menyekat kebanjiran PTI khususnya di Tawau demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

Anor berharap orang ramai memberi kerjasama dengan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dan menyalurkan info kepada talian bebas APMM di 089-752115/ 750116.

 

Advertisement