Anda di sini

389 penjawat awam terima Pingat Perkhidmatan Setia

Advertisement

KHIDMAT DIIKTIRAF: Lima kakitangan Perbadanan Urusan Kejuruteraan dan Limbungan Brooke (dari kiri) Desa Hipeni, 52, Othman Eni, 58, Osli Fauzi, 54, Suhaimi Kipli, 52, dan Peter Saba, 57, menunjukkan Pingat Perkhidmatan Setia yang diterima oleh mereka selepas majlis penyampaian pingat itu di Dewan Undangan Negeri di Kuching, semalam. — Gambar Bernama

KUCHING: Seramai 389 penjawat awam dari 19 jabatan dan agensi semalam menerima Pingat Perkhidmatan Setia daripada Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Majlis yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani.

Antara yang mendahului senarai penerima pingat ialah Hakim Mahkamah Tinggi (III) Kuching Dato Rodzariah Bujang yang telah berkhidmat selama 29 tahun, Ketua Hakim Syarie Datu Mohamed Ali Mohamed Sheriff Sahab, Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga Rodziah Morshidi dan Pegawai Tadbir Khas di Jabatan Ketua Menteri James Enjeng.

Majlis juga menyaksikan beberapa pegawai dan kakitangan yang telah berkhidmat lebih daripada 30 tahun menerima pingat masing-masing.

Antaranya, Othman Eni dan Naj Lebak dari Perbadanan Urusan Kejuruteraan dan Limbungan Brooke yang telah berkhidmat selama 41 tahun, DSP Mustapa Bujang, DSP Julaihi Tahir, SI Ahmad@Suwawi Keri, SI Zainal Abidin Hassan Uki, SJN Tinggas Lafe, SJN Abang Asli Salleh dan KPL Sulaiman Ismawi yang masing-masing telah berkhidmat selama 39 tahun.

Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Setia diberikan kepada penjawat awam bertaraf tetap dalam Perkhidmatan Awam Negeri yang telah berkhidmat selama 20 tahun terus-menerus atau 25 tahun perkhidmatan terkumpul.

Penerima juga dari kalangan mereka yang telah menunjukkan mutu perkhidmatan yang cemerlang serta memuaskan dan disokong oleh ketua jabatan masing- masing.

Selain itu, mereka perlu bebas daripada siasatan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tiada rekod pelanggaran tatatertib.

Pingat Perkhidmatan Setia (P. P. S) merupakan salah satu daripada anugerah yang disampaikan oleh kerajaan negeri kepada penjawat awam dan persekutuan yang telah berkhidmat dengan cemerlang dan penuh taat setia.

Semasa era pemerintahan Brooke, pingat ‘Long Service Decoration’ dianugerahkan kepada para pegawai yang berkhidmat untuk tempoh panjang.

Selanjutnya pada tahun 1950-an ketika era koloni British, gelaran anugerah telah ditukar kepada ‘Long Service Badge’ dengan tujuan yang sama.

Pada tahun 1963, gelaran Pingat Perkhidmatan Setia digunakan selaras dengan Surat Pekeliling (Bil.  Perj.  19/1996) dan dianugerahkan kepada penjawat awam yang menunjukkan kecemerlangan dan kesetiaan dalam perkhidmatan awam di negeri ini.

Turut hadir pada majlis semalam ialah Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Kanan Tan Sri Datuk Amar James Masing, Setiausaha Persekutuan Datuk Md Yahya Basimin serta yang lain.

 

Advertisement