Anda di sini

Utamakan keselamatan ketika di sungai

Advertisement

SIBU: Pengguna pengangkutan sungai terutama penumpang perahu perlu menitikberatkan aspek keselamatan sebagaimana ketika mereka menggunakan pengangkutan darat.

Penghulu Enyang Menchol berkata, penumpang perahu terutama penduduk luar bandar yang masih menjadikan sungai sebagai pengangkutan utama harus mengutamakan soal keselamatan dalam minda mereka.

“Penumpang khususnya penduduk yang masih bergantung kepada sungai sebagai pengangkutan harus mempunyai kesedaran dan meletakkan aspek keselamatan sebagai keutamaan mereka apabila menggunakan perahu panjang atau bot.

“Mereka harus meletakkan aspek keselamatan di sungai sama penting sebagaimana ketika mereka menggunakan jalan raya,” ujarnya kepada Utusan Borneo semalam ketika diminta memberi pandangan mengenai kejadian perahu karam yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

Sambil menyifatkan beberapa kejadian perahu karam yang berlaku sebelum ini mungkin disebabkan kecuaian manusia, Enyang berkata, kejadian boleh dielakkan sekiranya penumpang perahu dan bot sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan.

Sementara itu, Penghulu Richard Ampi pula berkata, penduduk rumah panjang yang menggunakan perahu sebagai pengangkutan harus memastikan mereka tidak membawa penumpang atau muatan berlebihan.

“Ini lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh di mana air sungai mengalir dengan deras dan berombak besar.

Pada masa sama, tuai-tuai rumah juga harus memberi nasihat kepada penduduk berhubung perkara ini dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Richard juga memberitahu, kerajaan dan juga wakil rakyat boleh mempertimbangkan untuk memberi jaket keselamatan kepada penduduk rumah panjang yang masih bergantung kepada pengangkutan sungai.

Tragedi perahu karam, katanya, tidak boleh dijangka dan boleh berlaku bila-bila masa.

“Oleh itu, jaket keselamatan ini amat penting dan perlu digunakan ketika menaiki perahu, termasuk bagi kanak-kanak sekolah,” jelas beliau.

Penghulu James Semilan pula memberitahu, jaket keselamatan harus digunakan setiap masa walaupun seseorang itu pandai berenang.

“Jika kita menggunakan jaket keselamatan, peluang kita selamat adalah 90 peratus. Ini kerana seseorang itu akan terus timbul apabila menggunakan jaket keselamatan,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, penting bagi penumpang perahu membawa dan menggunakan jaket keselamatan ini setiap masa sebagai langkah berjaga-jaga.

James juga memberitahu, pemilik perahu juga harus memastikan perahu mereka sentiasa dalam keadaan baik serta selamat digunakan.

“Kita harus memastikan perahu dalam keadaan baik dan selamat sebagaimana kita menjaga keadaan kereta,” tambah beliau.

Advertisement