Anda di sini

Usaha sama Malaysia, AS wujud Sudut Lincoln Sarawak

Advertisement

KUCHING: Usaha sama serta jalinan perhubungan korporat antara dua negara iaitu Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) diabadikan melalui sudut ilmu di ruang khas di Pustaka Negeri, di sini.

Sudut yang dinamakan sebagai Sudut Lincoln Sarawak itu membuktikan kerjasama erat yang terjalin selama 10 tahun tidak hanya dikongsi melalui bahan bacaan serta bahan audio-visual, malah turut mendapat kebaikan daripada ceramah-ceramah yang diberikan.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri, Tan Sri Datuk Amar Dr Hamid Bugo, perkhidmatan Sudut Lincoln Sarawak itu menawarkan perkhidmatan jaringan ilmu pengetahuan yang luas untuk semua lapisan masyarakat yang berkunjung di Pustaka.

“Di Sudut Lincoln Sarawak ini, pengunjung Pustaka Negeri tidak hanya ditawarkan perkhidmatan bahan bacaan serta bahan audio visual yang meluas bahkan turut berpeluang mendengar penceramah khas dari AS berkongsi ilmu pengetahuan dengan semua pengunjung.

“Pada masa sama, pengunjung turut dibekalkan maklumat serta pengetahuan baharu yang boleh diperolehi semasa mereka dihubungkan terus ke AS melalui persidangan sistem video digital di sudut ini,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, melalui hubungan persahabatan antara Malaysia-AS itu, ia turut membuka peluang kepada kakitangan Pustaka terutama pustakawan untuk didedahkan kepada tugas pustakawan dari serata dunia.

“Pustakawan di Pustaka Negeri khususnya akan dihantar ke perpustakaan di AS untuk menerima latihan serta pendedahan kepada jaringan profesion pustakawan yang lebih luas di samping menimba ilmu baharu dari pustakawan dari seluruh dunia,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan semasa menyambut kunjungan hormat Duta Amerika Joseph Y. Yun bersama isteri, Dr Melanie Billings, di Sudut Lincoln Sarawak, Tingkat 1, Pustaka Negeri di sini, semalam.

Terdahulu, Hamid merasmikan Program Pemerkasaan Rakan Kongsi Mobiliti Antarabangsa Amerika Syarikat (MIUSA) bersama Naib Presiden Persatuan Dyslexia Sarawak Bahagian Kuching Richard Sia.

Program pemerkasaan itu berperanan sebagai pertukaran dua jalinan perhubungan yang membuka peluang kepada orang kelainan upaya (OKU) untuk perkembangan kemahiran profesional, latihan, jaringan kerjasama serta kolaboratif bersama rakan sebaya di AS.

Selain itu, ia juga sebagai usaha untuk mempromosi Hak Asasi OKU oleh pentadbiran.

Hadir sama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Arpah Adenan serta warga OKU dari Persatuan Dyslexia Sarawak Bahagian Kuching.

Advertisement