Anda di sini

Semangat ingin tahu pelajar mudahkan pelaksanaan ETA

Advertisement

KUCHING: Pelajar sekolah yang aktif serta mempunyai semangat ingin tahu yang kuat memudahkan sesi pengajaran serta pembelajaran menerusi Program Bantuan Pengajaran Bahasa Inggeris (BI) Fullbright (ETA).

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Samariang menjadi salah sebuah sekolah yang terpilih di seluruh Sarawak untuk melaksanakan program ETA itu yang melibatkan pelajar tingkatan satu hingga tiga.

Graduan muda dari Amerika Syarikat, Alexandra Mills Victoria, 22, dilantik menjadi pembantu guru BI melalui program ETA di sekolah terbabit.

Beliau berkata, meskipun pada mulanya berasa gementar untuk mengendalikan sesi mengajar di SMK Bandar Samariang, beliau tetap terhibur dengan ragam serta gelagat pelajar yang mudah didekati.

“Saya berasa amat bersyukur kerana kehadiran saya ke sekolah ini sebagai pembantu guru BI melalui program ETA mendapat respons positif khususnya daripada pelajar terlibat.

“Mereka bukan sahaja menunjukkan minat untuk mendalami BI, bahkan mereka menunjukkan keramahan yang saya jarang perolehi di negara saya sendiri,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan Duta Amerika Joseph Yun ke SMK Bandar Samariang, semalam.

Tambah Alexandra, pelajar-pelajar SMK Bandar Samariang memberikan kerjasama yang baik sekali gus memudahkan beliau untuk mengendalikan sesi pembelajaran dengan lancar.

Beliau memberitahu, program ETA yang dikendalikannya di SMK Bandar Samariang akan berlangsung selama 10 bulan dengan 10 jam kredit seminggu.

Advertisement